Jumaat, 24 Mei 2013

PKR mahu konflik selepas pilihan raya dihentikan, akan mulakan dialog bi-partisan

TERKINI
Oleh Amin Iskandar
Penolong Pengarang Berita

PETALING JAYA— Dikala pentadibiran Datuk Seri Najib Razak memulakan tindakan keras terhadap penyokong pembangkang yang membantah keputusan Pilihan Raya 2013,  PKR dilihat memulakan langkah untuk menamatkan apa yang dikatakan sebagai “konflik dan pertelingkahan tiada penghujung.”

Azmin berucap semasa Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-9 di Dewan Sivik,PJ. 24 Mei 2013. - Gambar oleh Choo Choy MayTimbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengatakan walaupun Pakatan Rakyat (PR) memenangi undi popular berbanding Barisan Nasional (BN), kepentingan rakyat harus didahulukan untuk membawa Malaysia terus kehadapan.

“Jika kita mengaku ingin berkhidmat demi rakyat, patriotis dan mendahulukan kepentingan rakyat terbanyak mengatasi kepentingan kelompok, maka kita perlu mencari titik temu atau common ground untuk membawa kemajuan politik di Malaysia,” kata Azmin ketika merasmikan kongres nasional PKR bagi Angkatan Muda Keadilan dan Wanita di sini hari ini.

“Pada waktu yang sama, kita bertanggungjawab tidak membiarkan suasana 51 - 47 merudum ke arah suasana buntu atau political impasse. Konflik dan pertelingkahan yang tiada penghujung,” tambah beliau lagi.

Menurut Azmin, semua pihak perlu menggembeling keberanian moral untuk memulakan dialog politik dan pengelibatan melangkaui perbezaan politik.

Semalam, Ahli Parlimen Batu PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Haris Ibrahim ditahan kerana menghasut dan di bawa ke balai polis Jinjang untuk disoal siasat dan penahanan, difahamkan penahanan tersebut dilakukan dibawah seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan dan seksyen 124 Kanun Keseksaan.
Walau bagaimanapun, ketiga-tiga dibebaskan hari ini.

Namun peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Haris semalam berkata tidak dimaklumkan tentang “kenyataan menghasut” yang dikatakan dibuat oleh anak guamnya ataupun kedua-dua mereka yang ditahan.
Ketiga-tiga dipercayai ditahan kerana pengelibatan dalam sebuah forum pada 13 Mei terhadap keputusan pilihan raya umum lalu.

Individu pertama yang ditahan akibat forum itu dan didakwa kerana menghasut adalah aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim di kompleks mahkamah Jalan Duta pagi semalam.

Lelaki berumur 24 tahun itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan perbicaraannya ditetapkan bermula pada 2 Julai.

Mendakwa pilihan raya dicurangi, PR setakat ini enggan untuk mengiktiraf keputusan Pilihan Raya 2013 yang menyaksikan BN dan Najib mempertahankan kuasa akan tetapi dengan majoriti kurang. Gabungan dipimpinnya juga hilang undi popular menyebabkan ianya menjadi kerajaan minoriti.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakan polis, mengatakan mereka mempunyai asas dan bukti kukuh untuk membuat penangkapan.

Sebelum ini perhimpunan Black 505 diadakan di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah dimana ribuan engkar kepada arahan polis dengan memenuhi stadium dan tempat ceramah.

Dalam Pilihan Raya 2013, BN mendapat 133 kerusi berbanding PR 89 kerusi. BN turut hilang undi majoriti pertama kali semenjak tahun 1969.

Tiada ulasan: