Ahad, 26 Mei 2013

Pembangkang teruskan perhimpunan walaupun tak beri notis kepada polis

SINAR HARIAN

 PETALING JAYA - Pembangkang tetap mengadakan perhimpunan di Dataran Petaling Jaya di sini walaupun penganjurnya gagal menyerahkan notis mengenainya kepada pihak polis seperti diperuntukkan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perhimpunan itu, yang bermula pada 4.30 petang, menyaksikan kalangan pesertanya berpakaian serba hitam turut membawa bayi dan kanak-kanak selain sepanduk berunsur hasutan.

Antara yang hadir pada perhimpunan itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Naib-naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar serta Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli.

Difahamkan perhimpunan itu turut disertai anggota badan bukan kerajaan seperti Soladiriti Anak Muda Malaysia, Suara Rakyat Malaysia, Parti Sosialis Malaysia dan Jaringan Rakyat Tertindas.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan berkata pihaknya tidak menerima notis daripada penganjur perhimpunan itu.

Akta Perhimpunan Aman 2012 menetapkan bahawa penganjur perlu memaklumkan kepada polis mengenai sesuatu perhimpunan menerusi notis 10 hari sebelum ia diadakan. - Bernama

Tiada ulasan: