PUTRAJAYA,— Datuk Seri Najib Razak membidas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang tidak berprinsip kerana mungkir janjinya menghormati sebarang bentuk keputusan pilihan raya, selepas bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla turut membuat tuduhan sama hari ini.
Kenyataan Najib tersebut hadir selepas laporan Wall Street Journal (WSJ) memetik Jusuf menuduh Anwar memungkiri perjanjian damai dengan membantah keputusan Pilihan Raya 2013.
“Ada pemimpin pembangkang telah berjanji dan telah menandatangani perjanjian untuk terima keputusan pilihan raya tetapi apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepadanya, dia telah menolak sesuatu yang telah dijanjikan,” kata perdana menteri penggal kedua itu di sini hari ini merujuk kepada Anwar semasa menyampaikan ucapan di Festival Belia disini.
“Itu bukan cara kita, kita mesti ada prinsip dan ikut peraturan,” tambahnya lagi.
Akhbar antarabangsa WSJ mengeluarkan wawancara dengan ketiga-tiga pihak mengesahkan kewujudan perjanjian damai itu, serta memetik Jusuf mendakwa telah menelefon Anwar sehari selepas pilihan raya 5 Mei lalu dan menggesa ketua pembangkang menghormati komitmen dan “melihat realiti”.
Walau bagaimanapun, Anwar mempertahankan tindakannya membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu, sebaliknya menuduh Barisan Nasional (BN) melanggar beberapa syarat semasa perjanjian damai yang dibuat pada April lalu.
“Terdapat beberapa parameter yang dipersetujui. Pertama, etika dalam mengendalikan kempen dan cara hal ehwal media dikendalikan oleh kerajaan supaya tidak dipergunakan untuk menyerang pembangkang... ini tidak berlaku.
“Syarat kedua pilihan raya yang adil dan bebas termasuk akses kepada media, seperti dituntut Bersih, tapi tidak dipenuhi,” kata ketua umum PKR tersebut kepada wartawan sebaik berakhir Kongres Nasional Ke-9 disini, serta mendakwa penipuan pilihan raya telah terbukti.
“Dan ketiga, adalah kebergantungan semasa menerima syarat itu, pendirian kami adalah menerima keputusan tersebut,” tambah bekas timbalan perdana menteri lagi.
Dalam laporannya, WSJ melaporkan Anwar yang menghubungi Jusuf sebagai orang tengah kepada perjanjian itu dua bulan lalu, yang mana kemudiaannya mendapat komitmen daripada lawannya ke atas sebarang keputusan pilihan raya yang aman.
Perjanjian tersebut menghalang kedua-dua pihak daripada melakukan serangan peribadi semasa kempen dan menerima sebarang keputusan pilihan raya - telah dimerterai pada bulan April.
Kedua-dua musuh tersebut, bagaimanapun telah menolak klausa dalam perjanjian yang menawarkan pihak kalah peranan dalam “Kerajaan perdamaian”, tulis WSJ.
Penasihat Najib dilaporkan mengesahkan perjanjian itu, memberitahu WSJ bahawa Anwar telah meminta bantuan Jusuf untuk mendapatkan persetujuan bersama bagi menerima sebarang keputusan pilihan raya dengan aman tidak kira dengan apa cara sekalipun meskipun sekiranya memenangi dengan majoriti tipis.
“Perdana Menteri mengulangi secara peribadi kepada Jusuf Kalla dan di khalayak ramai sebelum pilihan raya BN akan menghormati kehendak rakyat dan menerima keputusan pilihan raya, walaupun pembangkang menang,” akhbar tersebut memetik kata pembantu Najib.
Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Najib dan BN kembali berkuasa di Putrajaya dalam satu persaingan sengit yang menyaksikan Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) memenangi undi popular tetapi masih tewas dalam pilihan raya.
Salah satu pertikaian yang menjadi alasan buat PR adalah undi popular dimana BN hanya memperoleh kurang 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undi manakala PR mendapat majoriti sebanyak 51 peratus.
Dalam ucapannya lagi di Putrajaya malam tadi, Najib menjawab hujah undi popular bukan ukuran sebenar dalam sistem pilihan demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia sebaliknya jumlah kerusi yang dimenangi adalah penentu penubuhan sesebuah kerajaan persekutuan.
“Kita tidak pilih kerajaan berdasarkan pilihan raya presiden kerana Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen.
“Kita memilih sistem berdasarkan majoriti kerusi yang dimenangi,” kata Najib menjawab hujah undi popular yang dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang.
BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi pada Pilihan Raya 2008 lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan