Mohd Sabri Said, |
Lim Guan Eng merasmikan program di Komtar malam tadi.
GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengecam keras Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mengeluarkan kenyataan sesiapa yang enggan menerima sistem pilihanraya Malaysia agar meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara yang menjalankan pilihanraya mengikut kaedah yang digemari.
Kenyataan itu tambahnya, amat rasis dan tidak sewajarnya keluar daripada mulut seorang menteri yang baru dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.
"Baru semalam dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi telah bertindak di luar batasan. Kenyataan itu bagaikan kebudak-budakan.
“Sebagai menteri yang baru dilantik harus bersikap matang tidak melukai hati masyarakat Cina terutamanya yang juga merupakan rakyat sah di Malaysia," ujarnya semasa merasmikan program Fakta Sebenar Pakatan Rakyat Menang Undi Popular PRU13 di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) malam tadi.
Justeru, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP mempersoalkan siapa rasis sebenarnya, adakah masyarakat Cina yang dikatakan membawa 'tsunami Cina' atau kepimpinan BN.
Kebangkitan rakyat pada PRU13 baru- baru ini, ujarnya bukan tsunami Cina tetapi satu gelombang rakyat yang menuntut sistem PRU agar lebih telus, adil dan tidak menipu.
"Bila berlaku kebangkitan rakyat khususnya orang Cina, kenapa kepimpinan BN naik angin seolah takutkan bayang-bayang. Maka, sebab itu selepas sahaja Pakatan Rakyat mencapai peningkatan politik mereka terus tabur berbagai kenyataan berbaur perkauman," jelasnya.
Turut menjadi ahli panel pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Meng dan mantan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad manakala pengerusi Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil khir Johari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan