Jumaat, 17 Mei 2013

Kabinet 2013, rakyat diutamakan?

Syahir Sulaiman,




Gandingan muka lama dan baru mewarnai komposisi kabinet yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri. Dengan 24 kementerian, 30 menteri dan 27 timbalan menteri, cabaran pastinya terpikul di bahu para menteri untuk meneruskan agenda transformasi  dan melaksanakan janji-janji pilihanraya, dalam situasi keupayaan ekonomi dan kewangan kerajaan yang terbatas.

Kerajaan minoriti, kabinet besar

Saiz kabinet yang besar di Malaysia tidak dapat dielakkan bagi memenangkan hati semua parti komponen dalam Barisan Nasional, walaupun ia menambahkan beban kos operasi kerajaan, di samping mengurangkan efisiensi dan mutu perkhidmatan kerajaan yang penuh birokrasi.

Sebagai perbandingan, jumlah menteri di Malaysia hampir menyamai jumlah menteri di India (33 orang), namun menteri-menteri di India mentadbir lebih 1 bilion penduduk (30 kali ganda rakyat Malaysia) dengan keluasan 3.3 juta km² (10 kaliganda keluasan Malaysia). Manakala di England (22 menteri) dan Australia (23 menteri), jumlah menteri adalah lebih rendah berbanding jumlah kementerian, namun di Malaysia, jumlah menteri (30 orang) dan timbalan menteri (27 orang) adalah lebih tinggi daripada jumlah kementerian (24 buah), ditambah pula dengan pelbagai jabatan, agensi, suruhanjaya dan jawatankuasa dengan 1001 bidang kuasa yang bertindanan.

Berbekalkan ketidakseimbangan jumlah kerusi (BN 133, PR 89) dan undi (BN 48%, PR 52%), agenda transformasi Perdana Menteri dan dasar ‘tidak popular’ seperti pengurangan subsidi dan cukai GST terpaksa berhadapan dengan pertimbangan populis untuk meraih sokongan dan survival politik, dalam keadaan kewangan kerajaan yang tidak fleksibel, dengan bebanan hutang menghampiri paras 55% kepada KDNK, kadar defisit sekitar 4%-5% dan paras inflasi yang dijangka akan terus meningkat.

CEO dan CFO, orang yang sama

Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri ternyata tidak menepati harapan beberapa penganalisis ekonomi untuk melihat berlaku pemisahan kuasa di antara Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Format penjawatan Perdana Menteri yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan mula dipraktikkan oleh Tun Dr Mahathir pada tahun 1998, diteruskan oleh Tun Abdullah dan disambung oleh Perdana Menteri sekarang.

Untuk rekod, Malaysia telah mengalami defisit fiskal (kerajaan berbelanja melebihi pendapatan) selama 16 tahun berturut-turut sejak tahun 1998, di mana dalam tempoh yang sama, format penjawatan ini digunapakai. Negara sangat memerlukan budaya ‘semak dan imbang’ (check and balance), bukannya budaya ‘cek tanpa baki’(cheque no balance) di peringkat tertinggi membuat keputusan dan dasar fiskal negara yang disuburkan oleh sistem urustadbir yang tidak telus, akibat kuasa yang diberi pada orang yang sama untuk memegang jawatan CEO (ketua pegawai eksekutif) dan CFO (ketua pegawai kewangan) dalam kerajaan. Hatta di peringkat persatuan, kelab dan masjid, seorang pengerusi tidak boleh memegang jawatan bendahari bagi mengelakkan berlaku salahguna kuasa dan pecah amanah di dalam sesebuah organisasi.

Dalam lanskap ekonomi dunia dan serantau yang mencabar, Menteri Kewangan wajar bertegas dan memberikan tumpuan untuk memulihkan ekonomi negara, khususnya untuk menjana sumber pendapatan baru (mengurangkan kebergantungan sumber petroleum 40%), berdisiplin dalam berbelanja untuk mengurangkan kadar defisit (di samping menunaikan janji pilihanraya dengan anggaran kos RM12.5 bilion), mengawal kadar hutang dan jaminan liabiliti kerajaan yang sudah melepasi paras 60% KDNK (projek MRT, transaksi bon dan simpanan 1MDB di luar negara, timbal-balik pembiayaan politik), mengukuhkan nilai integriti dan urustadbir di semua peringkat masyarakat (tender terbuka, banteras rasuah), serta meningkatkan keyakinan pelabur dan mengawal kebanjiran keluar (brain drain) profesional tempatan untuk memacu ekonomi negara secara mampan.

Mesej saya kepada semua jemaah menteri; “Ini masa tunaikan janji, rakyat akan memerhati dan menanti”.

* Penulis adalah Pengarah Kajian Polisi, Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: