Ahad, 26 Mei 2013

MB N9 nasihat MCA, Gerakan pulihkan semangat, berhenti merajuk

NUR SHARIEZA ISMAIL

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
 
SEREMBAN – MCA dan Gerakan perlu bangkit daripada terus ‘merajuk’ dan segera melakukan transformasi dari segi kepimpinan dan pendekatan agar mampu menarik semula sokongan masyarakat Cina pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

Itu pandangan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu melihat semula kedua-dua parti komponen itu terus relevan sebagai sebuah parti bagi mewakili suara masyarakat Cina.

“Kita tidak perlu terus merajuk apabila mengalami kekalahan. Kalau terus menangis dan merajuk, sampai bila pun tidak boleh.

“Seharusnya, kita perlu bekerja lebih kuat bagi memulihkan semula semangat, selain daripada melakukan transformasi, bukannya merajuk.
“Merajuk boleh menghancurkan diri sendiri, merajuk kepada orang yang sayang tidak mengapa tetapi ini orang sudah benci. Nanti lagi orang tidak suka,” katanya di sini.

Mohamad berkata, Umno juga pernah berhadapan dengan situasi sebegitu pada 2008 apabila presiden parti ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengundur diri.

“Jadi bukan sesuatu yang mudah dan senang sepertimana yang difikirkan. Sekiranya mahu memulihkan semula imej parti, pelbagai pendekatan perlu dilakukan antaranya brainstorming.

“MCA dan Gerakan perlu segera berubah serta melakukan transformasi tersebut dalam usaha memulihkan semangat dan keyakinan masyarakat Cina terhadap kedua-dua parti itu," katanya.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, ia hanya pendapat peribadi beliau saja dan terpulang kepada kedua-dua parti komponen itu untuk melakukan perubahan.

Tiada ulasan: