Rabu, 15 Mei 2013

Khalid: Proses pemilihan Exco Selangor bermula

THE MALAYSIAN INSIDER
 
 Khalid juga enggan memberitahu sama ada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Azmin Ali akan dilantik menjadi exco kerajaan negeri. - Gambar fail KLANG— Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata proses pemilihan barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) telah bermula dan akan diumumkan kepada orang ramai setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata pihaknya tidak akan membuat pengumuman awal berhubung pelantikan barisan Exco itu sebab ia adalah sebahagian daripada aku janjinya sebagai Menteri Besar, selain bagi mengelak spekulasi.

“Saya berjanji tidak akan mengumumkan (senarai Exco) kepada awam sehingga semua proses selesai,” katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar bagi penggal kedua di hadapan Sultan Selangor di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Abdul Khalid juga enggan memberitahu sama ada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Azmin Ali akan dilantik menjadi exco kerajaan negeri.

Bernama difahamkan, Sultan Selangor sebelum ini tidak memberi perkenan kepada senarai calon Exco yang dicadangkan baru-baru ini oleh Azmin, yang juga Pengerusi PKR Selangor.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) 2008, PKR yang menang 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP (13 kerusi) dan PAS (lapan kerusi) muncul dengan formula 4:3:3 iaitu empat kerusi Exco bagi calon daripada PKR manakala PAS dan DAP masing-masing tiga kerusi.

Tetapi sumber mengatakan mungkin berlaku perubahan komposisi dalam barisan Exco kali ini, dengan formula 3:3:4 iaitu masing-masing tiga kerusi Exco bagi calon daripada PKR dan DAP, manakala empat untuk PAS.

PAS dan DAP masing-masing menguasai 15 kerusi DUN, berbanding 14 kerusi yang dimenangi PKR pada PRU13.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman dilaporkan berkata PAS akan mengekalkan tiga wakil dalam barisan Exco pada penggal lalu.

Tiga wakil itu ialah Iskandar Abdul Samad yang memenangi kerusi DUN Cempaka, Dr Halimah Ali (Selat Kelang) dan Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang).

Bagi DAP, sudah pasti akan ada dua muka baharu dalam barisan Exconya memandangkan Teresa Kok dan Ronnie Liu tidak bertanding bagi kerusi DUN pada PRU13.

Sumber mengatakan DAP akan mengekalkan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dalam barisan Exconya.

Antara calon-calon baru yang disebut-sebut akan menjadi anggota Exco mewakili DAP adalah bekas speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim (Adun Sungai Pinang), Hannah Yeoh (Adun Subang Jaya), Lau Weng San (Adun Kampung Tunku) dan V. Ganabatirao (Adun Kota Alam Shah).

Bagi PKR pula, sumber mengatakan parti itu mungkin menggugurkan Dr Yaakob Sapari (Kota Anggerik), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Xavier Jayakumar (Sri Andalas) dan Rodziah Ismail (Batu Tiga).
PKR membisu mengenai muka baru yang akan dicalonkan sebagai anggota Exco.

Sementara itu difahamkan bahawa Dr.Jayakumar sedang giat mengumpul tandatangan dari badan bukan kerajaan kaum India untuk mendapatkan sokongan mereka agar beliau dikekalkan sebagai anggota Exco dari PKR. 

Tiada ulasan: