Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati penyokong Pakatan keluar awal untuk mengundi, kemudian membantu usaha memantau sebarang percubaan melakukan penipuan termasuk membawa pengundi hantu.
“Kita boleh menang dengan 51 peratus. Sebab itu, kita kena keluar beramai-ramai, mengundi awal. Kemudian bantu calon Pakatan, lakukan pemantauan.
“Kena waspada dan kawal kawasan kita,” kata Ketua Umum KEADILAN itu ketika berucap di perkarangan pusat beli-belah Bangsar South, malam ini.
Lebih 15,000 pengundi Parlimen Lembah Pantai mengikuti ucapannya selain pidato penyandang kerusi, Nurul Izzah Anwar dan pimpinan Pakatan, sekalipun lokasi ceramah terpaksa ditukar pada saat akhir berikutan sabotaj pemimpin Umno BN.
Merujuk kemasukan pengundi asing yang diragui secara besar-besaran yang belum dijawab SPR secara tuntas, Anwar mengulangi amaran keras kepada suruhanjaya itu supaya tidak bersekongkol dengan sebarang penipuan pada PRU 13.
“Saya nak beritahu SPR, urus pilihan raya dengan adil. Kalau kamu cuba tipu, kami akan tangkap, hadapkan ke mahkamah dan bawa kamu ke penjara,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Anwar berpesan kepada petugas SPR bahawa, bukannya Najib Razak dan Barisan Nasional yang menentukan hala tuju negara, tetapi rakyat Malaysia.
“Saya nasihatkan SPR ikut Perlembagaan dan undang-undang. Bukan Najib yang tentukan hala tuju negara ini, tetapi rakyat Malaysia!” katanya.
Sebelum bersurai, ribuan hadirin di perkarangan kompleks beli belah Bangsar South bersama-sama menyanyikan lagu ‘Negaraku’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan