Abdul Aziz Mustapha, |
"Tidak akan bermakna lantik Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri jika anggota kabinet yang lain terdiri dari mereka yang bermasalah," katanya.
Beliau mempersoalkan, apa yang boleh dilakukan oleh Paul jika dikelilingi oleh orang-orang yang bermasalah.
"Apa makna lantik Presiden TI-M kalau hanya untuk ditenggelami oleh orang-orang yang bermasalah.
"Dia bukan sahaja tidak akan mampu menyelesaikan masalah tetapi hampir serta merta akan tenggelam dan perkara itu akhirnya menambahkan lagi masalah.
"Sebab itu kita melihat kabinet yang Najib umum itu hanya kabinet tambah masalah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Menurut Mahfuz, antara perlantikan yang paling dipandang sinis oleh banyak pihak serta banyak mengundang kritikan ialah perlantikan perlantikan Datuk Tajuddin Abdul Rahman sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Antara lain, anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Datin Paduka Marina Mahathir menulis dalam laman Twitter "Six million dollar man Umno mendapat jawatan timbalan menteri".
Tajuddin diberikan nama jolokan itu selepas beliau dilaporkan telah dipecat dari Umno pada tahun 1995 kerana dituduh membayar RM6 juta untuk mengekalkan kedudukannya sebagai ketua bahagian.
Tajuddin juga baru-baru ini menerima anugerah konsesi RM1.3 bilion untuk membina UiTM Tapah, Perak, walaupun syarikat milik beliau, Detik Utuh Sdn Bhd bukanlah syarikat pembinaan yang aktif dan tidak mempunyai rekod prestasi yang baik dalam bidang pembinaan.
Selain Tajuddin, kata Mahfuz, seorang lagi yang disebut terbabit dalam amalan politik wang oleh Lembaga Disiplin Umno sendiri ialah Khairy Jamaluddin.
Khairy dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Dalam tulisannya "Kenapa saya masuk balik Umno," antara lain Dr Mahathir menulis, "Saya percaya dia (Najib) tidak akan pilih perasuah yang terkenal dan diketahui umum seperti Khairy dan beberapa lagi sebagai menteri atau anggota kerajaan".
Mahfuz melihat tindakan Najib itu seolah-olah mencabar Dr Mahathir dan beliau ternanti-nanti untuk melihat apakah reaksi Dr Mahathir terhadap kabinet baru Najib itu.
"Bukan itu sahaja, tindakan mengekalkan orang seperti (Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) membuktikan Najib enggan melakukan perubahan ke arah lebih baik sedangkan Kementerian Dalam Negeri di mana beliau menjadi menterinya sebelum ini adalah antara yang paling banyak dilaporkan mengalami ketirisan dalam laporan Ketua Audit Negara.
"Itu belum lagi diambil kira orang seperti (Datuk Seri) Shahidan (Kassim) yang ditolak dan tidak diterima oleh istana," katanya.
Selepas pilihan raya 2008 lalu, istana Perlis menolak cadangan supaya Shahidan dilantik sebagai Menteri Besar negeri itu.
Najib melantik Shahidan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Pertahanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan