Jumaat, 17 Mei 2013

Kabinet Najib, Kabinet “Kitar Semula”


bn putrajaya

SHAH ALAM : Jemaah Menteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi penggal kali ini menyaksikan monopoli muka-muka lama dengan rekod perkhidmatan yang kurang menyakinkan.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, menyifatkan jemaah menteri Umno-BN kali ini tidak mempunyai daya tarikan tersendiri.

Pasukan itu sekadar menumpang reputasi individu bukan ahli politik seperti Paul Low dari Transparency International, P Waythamoorthy dari Hindraf dan Abdul Wahid Omar dari Maybank.

Menurut Dr Dzulkefly, kehadiran individu-individu bukan BN dalam jemaah menteri kali ini seolah-olah cuba mengimbangi kelemahan menteri-menteri Umno-BN.

“Kesemua ini untuk mengimbangi  kabinet yang sudah nyata tidak punya daya tarikan dan nyata akan berakhir dengan apa yang disebutkan ‘bisness as usual lah’ (beroperasi seperti dahulu).

“Sepertimana di penggal lalu, portfolio kewangan terus dipegang Najib, meskipun hutang negara terus mencatatkan peningkatan pada penggal lalu,” kata Dr Dzulkefly apabila dihubungi.

Jemaah Menteri Najib menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memegang portfolio pendidikan dan portfolio keselamatan dalam negeri dan pertahanan pula bertukar tangan.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang pernah mengganggap lonjakan jenayah adalah persepsi dan penceroboh Lahad Datu “bukan pengganas” kini dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan negara.

Manakala Datuk Seri Abdul Zahid Hamidi, yang mana kementerian dibawahnya dahulu dibidas Ketua Audit Negara atas tuduhan pembaziran, kini menerajui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Datuk Anifah Aman, Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Shafie Apdal terus memegang portfolio lama.

Manakala orang-orang seperti lama Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Datuk Dr S Subramaniam, Datuk G Palanivel, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Idris Jala, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Idris Jusoh dari penggal dahulu kini dikitar semula ke dalam barisan jemaah kali ini.

Dr Dzulkefly menganggap “transformasi” yang diwar-warkan Najib tidak mungkin akan berlaku dengan pasukan menteri ini.

“Muka-muka kitaran semula sekali gus tidak menyuntik satu ransangan yang besar terhadap harapan rakyat yang mahukan apa jua yang beliau war-warkan sebagai  tranformasi atau reformasi.”

Tiada ulasan: