TERKINI
KUALA LUMPUR— Barisan Nasional (BN) perlu
mempertimbangkan untuk menggugurkan syarat kaum untuk menyertai gabungan
berkenaan, sebaliknya menerima keahlian terus tanpa berdasarkan warna
kulit.Cadangan dari parti komponen BN itu dilihat sebagai langkah radikal selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya 2013.
“Saya merayu kepada semua parti komponen seperti Umno, MCA, dan MIC untuk gugurkan keahlian berdasarkan kaum,” kata Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn dalam satu sidang akhbar di sini.
Beliau berkata, keputusan yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya 2013, yang mana pengundi muda, terutamanya pengundi Cina mula menjauhi BN, langkah berkenaan perlu diambil untuk memperbaiki rekod BN dalam pilihan raya umum akan datang.
“Umno secara beransur-ansur menerima bukan Melayu, Bumiputera, itu tindakan yang baik ... semua parti perlu keluar dari garisan perkauman, ia politik baru yang perlu dilakukan untuk tarik pengundi muda.
“Sebagai parti tunggal BN, jika ia dilaksanakan, kita mungkin boleh tarik undi kumpulan muda,” katanya, dan menambah, BN perlukan imej dan model baru dalam politik.
Dalam Pilihan Raya 2013, BN menang tipis dengan 133 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat (PR) 89 kerusi. Daripada 133 kerusi Parlimen, 88 dimenangi oleh Umno.
“Untuk lima tahun akan datang, kami jangka dua juta pengundi muda (akan mengundi), apa mereka mahu, apa mereka fikirkan?” soalnya merujuk kepada kehendak pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
Gerakan juga jelasnya tetap akan menyokong jawatan Perdana Menteri sebagai Presiden BN, dan Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Presiden BN sekiranya parti pemerintah itu membuka keahlian terus tanpa sempadan perkauman.
“Ia adalah survival jangka panjang, kalau tidak mereka akan hilang dan pudar,” tegas Chang ketika sidang media di Ibu Pejabat Gerakan di sini.
“Kita tidak menafikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri telah menetapkan satu trend dalam transformasi BN secara efektif,” katanya, dan menambah BN perlu mengubah parti itu sejajar dengan suasana politik baru di negara ini.
Ditanya sama ada Gerakan akan mempertimbangkan untuk menerima jawatan di peringkat Pusat, beliau menegaskan perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Gerakan.
“Kamu parti komponen, kalau tak suka dengan polisi parti itu cerita lain, sepatutnya ada wakil dalam kerajaan selaku parti komponen ... saya rasa MCA dan Gerakan harus terima jawatan Pusat, walaupun kalah teruk dalam pilihan raya.
“Tetapi jawatan negeri kami terima, hanya jawatan pusat sahaja yang setakat ini kami tolak,” katanya merujuk kepada pendirian Gerakan.
Persoalan kemungkinan Gerakan akan bergabung dengan MCA dan Parti Progresif Rakyat (PPP) jelas beliau hanya akan berlaku sekiranya BN menggugurkan pemisahan kaum dalam keanggotaannya.
“Kami ada berbincang perkara itu (gabungan parti) namun isu yang berbangkit adalah keanggotaan, perlembagaan parti kami berbeza ... untuk bergabung dengan MCA kami tidak boleh mengabaikan anggota berbangsa India Gerakan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan