Ahad, 5 Mei 2013

Dakwat kekal: Sudah dua kali rakyat ditipu?

Nahar Md Nor,


Kontroversi “dakwat kekal yang tidak kekal” yang berlaku semasa pengundian awal baru-baru ini telah menimbulkan sekali lagi persoalan tentang kredibiliti SPR serta ketelusan perjalanan pilihanraya di Malaysia.

Ini merupakan kali kedua kontroversi dakwat kekal melanda PRU di Malaysia. Kali pertama adalah semasa PRU12, tahun 2008, di mana SPR telah mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat kekal 3 hari sebelum berlangsungnya pengundian pada 8 Mac 2013 setelah berbelanja sebanyak kira-kira RM2.9 juta untuk membeli 48,000 botol dakwat.

Alasan yang diberikan pada masa itu adalah kerana terdapat parti-parti politik yang telah membeli dakwat kekal dari luar negara dan dijangka akan menyalahgunakannya untuk PRU12. Pada masa itu ramai yang tidak dapat menerima alasan tersebut namun terus memberi peluang kepada SPR.

Salah satu tuntutannya Bersih 2.0 adalah berkaitan penggunaan dakwat kekal. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya) yang telah ditubuhkan oleh Parlimen juga telah mengesyorkan agar dakwat kekal digunakan dalam PRU13. SPR telah bersetuju untuk melaksanakan syor tersebut.

Namun semasa pengundian awal diadakan baru-baru ini, ternyata dakwat yang digunakan itu tidak kekal. Malah dengan mudah dihilangkan dengan menggunakan sabun biasa. SPR memberi alasan bahawa botol dakwat kekal tersebut telah tidak digoncang sebelum menggunakannya, maka ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Keesokan harinya SPR mengadakan demonstrasi kepada wartawan bagi membuktikan dakwat itu kekal dan kali ini terbukti ia memang kekal.

Pelbagai persoalan timbul dengan episod terkini berkaitan dakwat kekal ini. Antaranya adalah:

1.       Benarkah dakwat kekal tersebut perlu digoncang terlebih dahulu sebelum ia dapat berfungsi dengan baik?

2.       Adakah dakwat yang digunakan semasa pengundian awal sama dengan dakwat yang digunakan semasa sesi demonstrasi kepada pemberita?

Seorang pakar kimia dalam penjelasan beliau menghuraikan bahawa dakwat kekal tersebut, dengan kandungan kimianya, sebenarnya tidak perlu digoncang untuk ia berfungsi dengan baik. Penjelasan beliau itu kini tersebar luas di laman sosial. Sekali lagi kredibiliti SPR dipersoalkan.

Tujuan utama kenapa Bersih 2.0 dan orang ramai mendesak agar dakwat kekal digunakan adalah kerana mereka ingin membanteras kejadian di mana seorang pengundi boleh mengundi lebih daripada sekali. Ini adalah sebahagiannya berpunca daripada keraguan orang ramai terhadap kebersihan senarai pemilih serta maklumat tentang usaha mengeluarkan kad pengenalan palsu bagi membolehkan sesorang itu mengundi lebih daripada sekali.

Kejadian semasa pengundian awal tersebut telah menjadikan penggunaan dakwat kekal pada PRU13 ini sudah kurang bermakna. Ini adalah kerana tujuan utama penggunaan dakwat kekal bagi mengelakkan pengundian melebihi satu kali sudah tidak dapat dicapai sepenuhnya. Mereka yang mengundi awal masih berpeluang mengundi sekali lagi kerana dakwat yang dicalit ke tangan mereka tidak kekal.

Meskipun SPR mengatakan bahawa kanta pembesar akan disediakan di pusat mengundi namun ia amat diragui sama ada pegawai bertugas dapat mengesan dakwat di jari tersebut. Malah amat tidak praktikal bagi pegawai tersebut untuk memeriksa setiap jari pengundi menggunakan kanta pembesar bagi mengesahkan sama ada ia telah mengundi atau belum.

Semua peristiwa ini menimbulkan pertanyaan: adakah memang SPR serta Umno dan BN amat tidak senang dengan penggunaan dakwat kekal ini kerana memang telah dirancang agar sebahagian pengundi awal akan mengundi semula pada 5 Mei 2013?

Jumlah pengundi awal adalah hampir tiga ratus ribu orang. Jumlah ini adalah signifikan dan kritikal memandangkan banyak kawasan parlimen dan Dun dijangka akan dimenangi dengan majoriti yang tipis. Sekiranya sebahagian pengundi awal ini dapat mengundi semula pada 5 Mei nanti maka mereka dapat memberi kesan yang agak signifikan kepada PRU13.

Dalam sidang media Bersih 2.0 kelmarin juga dibangkitkan tentang peristiwa membawa pengundi dengan pesawat dari Sabah dan Sarawak yang sangat meragukan. Juga dipersoalkan sama ada peristiwa ini, bersama peristiwa penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal semasa pengundian awal tersebut akan menjadikan PRU13 satu PRU yang tidak akan menzahirkan keputusan rakyat yang sebenarnya.

Tentang dakwat kekal ini, rakyat akan bertanya, apakah mereka telah ditipu dua kali berturut-turut, dalam PRU12 dan PRU13.

Takut juga pemerintah dengan dakwat kekal ini!

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan aktivis Bersih 2.0

Tiada ulasan: