Isnin, 13 Mei 2013

Bekas hakim: Pastikan hanya Melayu jadi MB



 
Bekas hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah mencadangkan agar parti yang berjaya menguasai pentadbiran negeri untuk meminda undang-undang tubuh negeri masing-masing bagi memastikan hanya orang Islam-Melayu boleh dilantik menjadi menteri besar.

Menurut Mohd Noor, sesebuah parti itu mesti menang dengan majoriti kerusi untuk membolehkan seseorang wakilnya dilantik sebagai menteri besar.

Bagi syarat yang kedua, seorang menteri besar atau ketua menteri mestilah orang Melayu dan beragama Islam, katanya.

Mengikut peruntukan tersebut, Raja atau Sultan bagaimanapun boleh melonggarkan syarat kedua menurut kuasa budi bicaranya bagi menepati syarat pertama.

Oleh itu, kelonggaran itu perlu dihapuskan untuk membolehkan hanya orang Melayu-Islam boleh dilantik ke jawatan tersebut, katanya dalam satu seminar di ibu negara hari ini.

“Maknanya, siapa dapat majoriti dalam DUN, maka dia boleh jadi menteri besar. Kalau DAP dapat majoriti, maka orang Cina yang jadi menteri besar. Macam mana?,” soal Mohd Noor, yang disambut dengan laungan “tak boleh!” daripada kira-kira 300 orang hadirin.

Berucap dalam 'Seminar pasca PRU-13' itu, Mohd Noor berkata mana-mana negeri yang menang dengan majoriti dua pertiga boleh memansuhkan syarat ketiga di dalam peruntukan undang-undang tubuh negeri masing-masing.

“Kalau tak boleh, maka pindalah perlembagaan negeri itu dengan sokongan dua pertiga. Beritahu di Melaka yang dapat dua pertiga, di Pahang yang dapat dua pertiga supaya mansuhkan klausa itu. Tak ada syarat yang ketiga itu,” katanya.

Namun, perlembagaan persekutuan tidak menyatakaan bahawa jawatan perdana menteri perlu diisi oleh seseorang berbangsa Melayu atau Islam, katanya.

Tiada ulasan: