Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat
Cyanide
adalah bahan kimia berbahaya wujud perlbagai bentuk, dalam bentuk gas
yang tidak bewarna seperti hydrogen cyanide (HCN) dan yanogen chloride
(CNCl) atau dalam bentuk kristal seperti sodium cyanide (NaCN) dan
potassium cyanide (KCN).
Hydrogen cyanide (HCN) pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua
sebagai agen pembunuh oleh Tentera Jerman, Tentera Amerika Syarikat dan
Tentera Jepun malah ada juga laporan yang mengatakan agen pembunuh itu
juga telah digunakan ketika perang Iran-Iraq pada tahun 80-an. Ia juga
pernah digunakan oleh Tentera Perancis ketika Perang Dunia Pertama.
Penggunaan
bahan kimia ini telah diharamkan di beberapa buah negara khususnya di
sektor perlombongan antaranya adalah Amerika Syarikat (Montana,
Colorado, Wisconsin), Turki, Honduras, Republik Czech, Argentina,
Jerman, Greece, Costa Rica, Peru, dan Filipina kerana ancamannya kepada
Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.
Pendedahan berterusan
bahan kimia ini melalui pernafasan udara, air minuman, makanan malah
memegang tanah yang dicemari cyanide kepada manusia boleh menyebabkan
kematian malah jika mangsa berjaya diselamatkan sekalipun, dengan tahap
keracunan yang tinggi boleh menyebabkan jantung dan otak mangsa rosak.
Cyanide akan menghalang sel badan manusia daripada menerima oksigen yang
secukupnya dan jika sel badan tidak dapat menerima oksigen yang
secukupnya, sel itu akan mati. Jantung dan otak adalah organ manusia
yang banyak menggunakan oksigen.
Kesan pendedahan langsung bahan
kimia cyanide itu dalam jumlah yang kecil boleh dilihat melalui
tanda-tanda berikut iaitu sesak nafas, kegelisahan, pening, lemah, sakit
kepala, loya/muntah, dan degupan jantung yang kencang manakala
pendedahan dalam jumlah yang besar boleh menyebabkan sawan, tekanan
darah rendah, degupan jantung yang perlahan, pengsan, kerosakan salur
pernafasan termasuklah seluruh sistem pernafasan manusia dan seterusnya
kematian.
Kemalangan maut yang pernah melibatkan cyanide berlaku
di utara Indiana Amerika Syarikat melibatkan 4 pekerja kilang dan
mencederakan 20 yang lain akibat daripada pendedahan kepada gas beracun
cyanide. Di Ghana, 30 penduduk dilaporkan mengalami tanda-tanda
keracunan cyanide selepas sungai Ajoo dicemari pencemaran cyanide dari
sebuah syarikat perlombongan emas di situ. Malah di Laos, pencemaran
cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas dari Australia telah
menyebabkan kematian ikan dan keracunan kepada penduduk yang tinggal
sehingga 3KM jaraknya dari kilang itu.
Di Beijing China,
kebocoran gas cyanide di salah satu syarikat perlombongan emas di daerah
Huairou telah menyebabkan 3 kematian manakala 15 lagi dimasukkan ke
hospital. Malah kemalangan maut yang melibatkan cyanide telah meragut
nyawa 12 kanak-kanak yang tidak berdosa akibat pencemaran air di Sungai
Bambana.
Bencana alam sekitar yang paling ketara kesan daripada
kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas berlaku di
bahagian utara-barat Romania pada tahun 2000 dan diklasifikasikan
sebagai bencana sungai yang paling teruk di Eropah sehingga menyebabkan
pencemaran sumber air serta kematian hampir 20 jenis ikan yang
dilindungi termasuklah binatang-binatang lain seperti memerang, musang
dan burung. Malah pada tahun 1995 dan pada tahun 2000 di Guyana,
pencemaran sungai akibat kebocoran cyanide dari sebuah syarikat
perlombongan emas telah menyebabkan pencemaran sumber air dan kematian
kehidupan akuatik sejauh 4KM malah penduduk yang telah terdedah dengan
pencemaran cyanide itu mengalami ruam-ruam merah di badan mereka,
muntah dan ceret-beret.
Kemalangan yang melibatkan bahan kimia
cyanide ini terlalu banyak di seluruh dunia dan kerana ancaman ini, PAS
melalui Lajnah Alam Sekitar Pusatnya yang dipengerusikan oleh
Sdr.Zulkefly Mohamad Omar serta Sdr.Andansura Rabu yang mewakili Lajnah
Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang telah mengambil
ketetapan untuk bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan
Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman.
“Kedudukan
kilang Raub Australian Gold Mining (RAGM) yang hanya 200-300 meter dari
lokasi penempatan 3000 penduduk dan dimiliki oleh anak kepada veteran
politik MCA itu jelas membelakangkan konsultansi dengan penduduk
setempat lebih-lebih lagi apabila bahan kimia cyanide digunakan untuk
operasi perlombongan emas mereka. Kami tahu Kajian Impak Alam Sekitar
(PEIA) yang telah diluluskan Jabatan Alam Sekitar tidak memerlukan
konsultansi pihak awam tetapi seharusnya atas faktor ‘social obligation’
atau khidmat masyarakat, konsultansi ini dapat dipertimbangkan untuk
dilakukan terlebih dahulu sebelum keputusan kesesuaian tapak atau lokasi
akhir syarikat perlombongan itu diputuskan oleh pihak pengurusan RAGM
dengan mengambil kira jarak syarikat perlombongan itu dengan penempatan
penduduk. Dalam kes ini, masalahnya ialah ia terlalu dekat”, ujar
Sdr.Zulkefly Mohamad Omar (gambar) selaku AJK PAS Pusat merangkap
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.
Beliau juga
mempersoalkan di manakah garis panduan dari pihak Kerajaan Pusat dan
Negeri untuk industri perlombongan emas yang menggunakan cyanide ini
seperti yang sudah sedia ada untuk insinerator lebih-lebih lagi apabila
terdapat terlalu banyak kemalangan di seluruh dunia yang melibatkan
penggunaan bahan kimia cyanide ini khususnya di dalam sektor
perlombongan emas. Malah terbukti beberapa negara sudah pun mengambil
tindakan mengharamkan penggunaan cyanide di negara mereka malah Kesatuan
EU walaupun tidak mengharamkan penggunaan cyanide atas sebab-sebab
kesan pengharaman bahan kimia itu ke atas keperluan sosio-ekonomi mereka
di sana (peluang pekerjaan, dan sebagainya), satu garis panduan yang
ketat telah pun dikuatkuasakan.
“Seharusnya satu Kajian
Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) yang digunapakai oleh RAGM dan
bukan PEIA, tetapi masalahnya, peraturan yang sedia ada, yang telah
ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar tidak memerlukan DEIA dilakukan
untuk syarikat perlombongan emas itu. Persoalannya, atas dasar apakah
DEIA tidak dikuatkuasakan untuk RAGM?.
Kes yang sama berlaku untuk
projek LYNAS di mana PEIA sahaja diperlukan walaupun industri yang
berkait dengan sisa radioaktif adalah industri impak tinggi kepada
Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar. Mungkinkah industri
perlombongan emas yang menggunakan bahan kimia cyanide ini
diklasifikasikan sebagai industri yang rendah impaknya? Persoalannya,
jika benar, kenapakah sektor perlombongan emas ini diklasifikasikan
sebagai rendah impaknya kepada Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.
Ini soalan saya kepada Jabatan Alam Sekitar. Kerana keputusan Jabatan
Alam Sekitar inilah, konsultansi pihak awam tidak berlaku dan apabila
konsultansi pihak awam tidak berlaku, inilah sebabnya kenapa penduduk
Bukit Koman tidak tahu bahawa RAGM sudah beroperasi dengan menggunakan
cyanide semenjak tahun 2009 lagi.”, ujar Sdr. Andansura Rabu (gambar)
selaku Exco Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang selaku Pengerusi Lajnah
Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar Negeri.
Sdr. Zulkefly dan
Sdr. Andansura mempertikaikan kegagalan Menteri Kesihatan, Dato' Sri
Liow Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong Pahang, Menteri
Pelancongan Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen yang juga Ahli Parlimen Raub Pahang
dan Dato' Hoh Khai Mun, ADUN Bilut selaku Exco Kerajaan Tempatan, Alam
Sekitar Dan Kesihatan Pahang dari MCA itu untuk menyelesaikan isu
penduduk Bukit Koman ini di Raub. Malah kenyataan Dato' Sri Liow Tiong
Lai yang mempersoalkan di manakah penyelesaian terhadap masalah ini
daripada penduduk Bukit Koman serta mempertikaikan sumber ancaman
kesihatan itu yang mungkin bukan dari RAGM jelas menyerlahkan sikap
beliau untuk mempertahankan RAGM berbanding kepentingan rakyat.
“Adakah
mereka melindungi kepentingan RAGM kerana hubungan pemegang saham utama
RAGM itu dengan ayahnya yang pernah menjadi veteran MCA? berbanding
kepentingan rakyat yang telah mengundi mereka sebagai Ahli Parlimen?.
Kerana selepas 3 tahun RAGM beroperasi, isu yang melibatkan kepentingan
rakyat setempat masih tidak dapat diselesaikan. Adakah mereka juga yakin
jika berlaku kebocoran cyanide dari RAGM tidak akan hanya menjejaskan
kesihatan penduduk Raub khususnya di Bukit Koman tetapi akan juga
menjejaskan Empangan Klau di mana airnya akan disalurkan pula ke
penduduk di Selangor selepas projek Pemindahan Air di antara Negeri
Pahang-Selangor (ISRWT) siap nanti?”, ujar Sdr. Zulkefly.
Memetik
kenyataan Sdr.Andansura, selepas isu pencemaran alam sekitar di Cameron
Highlands didedahkan PAS 2 hari yang lalu termasuk isu pencemaran
sungai di Bentong serta Kuala Lipis dan isu LYNAS, kini rakyat Pahang
dihantui pula dengan ancaman agen pembunuh cyanide di Bukit Koman Raub.
Rakyat Pahang dilihat telah diperlakukan seperti tikus makmal oleh
Kerajaan Negeri Pahang dalam kerakusan mereka mengejar keuntungan
ekonomi semata-mata.
Kerana sikap kejam dan tidak
berperikemanusiaan inilah, PAS mengambil pendirian dan ketetapan untuk
bersama-sama dengan Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide
Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman untuk sama-sama menganjurkan
“Himpunan Hijau Raub” 2hb September (Ahad) ini di Dataran Raub Pahang.
PAS Pusat bersama-sama dengan Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang ingin
menyeru seluruh ahli PAS di seluruh negara khususnya di Pahang untuk
sama-sama turun ke Raub untuk memberikan sokongan menghalang penggunaan
ancaman bahan kimia Cyanide ini oleh RAGM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan