Selasa, 27 Mac 2012

Tapak sukan PKNS tidak dijual- Khalid

Oleh: Norutul Ilham


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu Dewan Undangan Negeri hari ini bahawa tanah Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kelana Jaya tidak pernah dijual, sebaliknya akan dibangunkan sendiri oleh badan tersebut.

Menurutnya, tapak berkenaan akan dibangunkan PKNS menggunakan kepakaran juruteranya, seperti yang dibuat perbadanan lain yang lebih menyerlah.

“Saya tidak halang pegawai PKNS bangunkan tapak sukan itu, tapi saya mahu ajar mereka supaya tidak mengharapkan pihak ketiga membangunkan tapak tersebut.

“Kita tidak mahu seperti PKNS yang dulu yang menggunakan sub kontraktor yang hanya untung 30 peratus sahaja. Selepas ini kita mahu PKNS buktikan kemampuan dan kepakaran mereka membina bangunan sendiri,” katanya menjawab pertanyaan Ismail Sani (Dusun Tua-PAS).

Bagaimanapun kata Khalid, beliau sendiri akan membuat penelitian terhadap projek pembangunan tersebut.

“Saya akan minta PKNS tunjuk pelan bagi pembangunan di situ. Bermakna jurutera-jurutera akan turun padang meneliti dan membuat tinjauan keadaan tapak untuk dibangunkan.

“Saya mahu jadikan PKNS seperti Capital Land di Singapura yang sama juga ditubuhkan selama 40 tahun tetapi jauh bezanya dengan PKNS,” katanya.

Tiada ulasan: