MALAYSIA KINI
PKR menyelar peguam yang didakwa mensensasikan isu Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menerima sapina yang cuma diserahkan di Parlimen dengan berkata ia bukan etika yang betul menyerahkan writ.Pengarah biro undang-undang parti Latheefa Koya sekali gus berkata, laporan menuduh Anwar menolak menerima sapina pada 28 Mac dalam kes saman terhadap Hong Leong Finance Berhad tidak benar sama sekali.
D Paralingam, peguam kepada defendan dalam kes Hong Leong lawan Low Thiam Hoe difailkan pada 1998 dilaporkan membuat dakwaan itu.
"Kami terkejut dengan kejahilan ditunjukkan peguam berhubung keistimewaan dan undang-undang asas Parlimen, contohnya tiada sama ada proses mahkamah boleh memberi kesan terhadap mana-mana anggotanya di premis Parlimen.
"Tindakan peguam untuk menyerahkan sapina di premis Parlimen salah sama sekali dan boleh mengundang prosiding menghina Parlimen," kata Latheefa dalam kenyataannya hari ini.
Anwar sebelum ini dilaporkan enggan menerima sapina yang terhadapnya supaya hadir ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebagai saksi perbicaraan kes saman berhubung perjanjian kemudahan pinjaman bersindiket berjumlah RM445 juta, kira-kira 14 tahun lalu.
Paramalingam juga berkata akan cuba sekali lagi menyempurnakan serahan sapina itu kepada anggota Parlimen Permatang Pauh dan jika masih tidak berjaya, beliau akan memohon perintah mahkamah untuk memaksa Anwar hadir perbicaraan kes itu.
Firma kewangan itu pada 19 Ogos 1998 menyaman Thiam Hoe yang dinamakan sebagai defendan, berhubung perjanjian kemudahan pinjaman bersindiket membabitkan urusan pengambilalihan institusi kewangan, Kewangan Bersatu Bhd (KBB) oleh Hong Leong Finance, tetapi usaha itu gagal dilaksanakan.
Saman itu didengar bersama kes saman balas oleh Thiam Hoe terhadap Hong Leong Finance dan Mekuritek Sdn Bhd bersama dua lagi penjamin, Hussin Abdul Karim dan Agus Salim Mohd.Dom serta Abdullah Abd Karim Bajerai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan