Sejumlah pembaca The Star di Kuala Lumpur tidak menerima naskhah akhbar tersebut di rumah hari ini, dan di beberapa kedai.
Ini ekoran boikot yang dilancarkan oleh beberapa vendor di Kuala Lumpur berhubung langkah akhbar harian tersebut mempromosi kempen langganan langsung.
Difahamkan The Star mahu melaksanakan pelan tersebut dalam usahanya untuk meningkatkan edarannya tahun lepas, tetapi menariknya balik selepas menerima bantahan.
Bagaimanapun, dalam satu langkah yang mengejut, salah seorang eksekutif tertinggi The Star memutuskan untuk melaksanakan dasar itu tanpa berunding dengan pihak vendor, yang melihat langkah itu menjejaskan mata pencarian mereka.
Sumber yang rapat tindakan pemulauan akhbar itu hari ini berkata sekumpulan vendor cuba menyerahkan memorandum kepada Ketua Pegawai eksekutif The Star, Ho Kay Tat semalam, tetapi beliau tidak mahu menerimanya.
Ini menyebabkan kira-kira 200 vendor berkumpul di Pasar Seni awal pagi ini dan enggan menerima akhbar milik MCA itu untuk diedarkan.
Difahamkan sekitar 30,000 naskhah telah dikembalikan oleh vendor kerana membantah apa yang mereka dakwa satu dasar yang tidak menguntungkan yang dikenakan ke atas mereka.
Sumber itu berkata pemulauan itu mungkin diperluaskan ke tempat lain di Lembah Klang esok dan melumpuhkan lagi pengedaran harian berkenaan.
The Star menjual sekitar 250,000 naskhah sehari di seluruh negara, sebahagian besar di Lembah Klang.
Beberapa cawangan di Bangsar terjejas
Malaysiakini juga meninjau ke empat premis di Utama Bangsar dan mendapati akhbar tersebut ada dijual di tiga tempat.
Pada jam 11 pagi seorang pekerja di rangkaian kedai 7-Eleven di Jalan Bangsar hairan mengapa akhbar tersebut belum sampai di kedai serbaneka itu, yang biasanya menerimanya pada jam 4 pagi.
Malaysiakini masih belum menerima nashkah langganannya petang ini apabila vendor berkenaan menceritakan mengenai pemulauan tersebut, dan mendakwa dia tidak menerima sebarang bekalan akhbar tersebut.
Seorang lagi vendor yang enggan namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini bahawa bantahan itu berpunca daripada keengganan pihak pengurusan The Star untuk membincangkan cadangan langganan langsung dengan mereka, lebih-lebih lagi kerana ia akan menjejaskan mata pencarian mereka.
"Mereka meminta pembaca baru melanggan terus dengan pejabat akhbar tersebut, untuk menghapuskan peranan vendor bebas. Beberapa vendor telah mengedar dan menjual surat khabar selama 40 tahun... ini saja perniagaan yang mereka tahu, ianya menjadi mata pencarian mereka.
"Skim langganan langsung akan menjejaskan pendapatan kami. The Star memberikan sedikit komisen walaupun akhbar itu berat, yang menghadkan kami daripada membawa banyak nashkah ketika menghantarnya dari rumah ke rumah.
"Berikutan itu, beberapa vendor terpaksa menggunakan van untuk penghantarannya, dan bukannya motosikal, dan ini bermakna kos tambahan," kata seorang vendor.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang kakitangan pengedaran The Star mengesahkan akhbar tersebut menghadapi beberapa masalah pengedaran hari ini tetapi berkata ianya telahpun diselesaikan.
Kakitangan tersebut, yang enggan dikenali, berkata jika pembaca menghadapi masalah, mereka perlu menghubungi jabatan pengedaran dan memberikan nama vendor mereka untuk dihantar nashkah akhbar tersebut.
Seorang wakil Persatuan Vendor Lebuh Pasar S Sekar berkata berikutan mesyuarat dengan pihak pengurusan Star Publications (M) Sdn Bhd petang ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan isu tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan