KELAN GREENBOC
Jabatan Penjara nafi Hoslan islamkan banduan
KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan sebuah media online berhubung bekas imam yang dipenjarakan atas kesalahan menghina mahkamah selepas membaling selipar ke arah hakim, Hoslan Husin yang didakwa mengislamkan dua banduan dan menjadi imam di penjara Kajang.
Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Penjara Supri Hashim dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menghantar pegawai untuk menyiasat perkara tersebut dan hasil siasatan mendapati laporan itu tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai.
"Ibu Pejabat Penjara telah menghantar pegawai untuk menyiasat laporan media berkenaan kerana mendapati ia bertentangan dengan tatacara dan prosedur jabatan," katanya.
Pada Khamis, akhbar Harakah Daily melaporkan dan memetik kata-kata isteri Hoslan, Noorliza Mohd Isa yang memberitahu suaminya telah mengislamkan dua orang banduan selain mengajar fardu ain serta menjadi imam kepada banduan lain ketika solat berjemaah.
Hoslan merupakan bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan dipenjarakan selama setahun sejak 8 Mac lepas atas kesalahan menghina mahkamah selepas dia membaling selipar ke arah tiga panel hakim ketika mahkamah bersidang di Mahkamah Persekutuan, pada 22 Feb lepas.
Supri berkata, berasaskan prosedur yang diguna pakai oleh Jabatan Penjara, urusan pengislaman seseorang banduan dilaksanakan secara teratur dan melalui Jabatan Agama Islam dan bukannya banduan lain.
Sebaik sahaja seseorang banduan menyatakan hasrat untuk memeluk agama Islam proses pengislaman akan dilaksanakan dengan kehadiran pegawai dari Jabatan Agama Islam, pegawai agama Jabatan Penjara serta saksi-saksi yang diperlukan bagi memastikan pengislaman dilaksanakan secara teratur.
Katanya salah seorang banduan yang dilaporkan diislamkan oleh Hoslan sebenarnya telah memeluk agama Islam pada 2009 iaitu sebelum dipenjarakan.
Manakala seorang lagi dalam proses memeluk agama Islam yang mana akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam dalam masa terdekat.
Beliau juga berkata pegawai agama atau pembantu pegawai agama akan menjadi imam kepada banduan di surau-surau penjara dan bukannya banduan seperti yang dilaporkan oleh media tersebut.
Semua program keagamaan Jabatan Penjara akan dikendalikan oleh penceramah bertauliah atau pegawai agama penjara, katanya.
"Kemungkinan Hoslan hanya menjadi imam di sel bersama beberapa banduan lain yang ditempatkan bersama semasa mengerjakan sembahyang pada malam hari.
"Bagi tujuan keselamatan banduan tidak akan dikeluarkan dari sel mereka pada waktu malam. Oleh itu pada kebiasaannya semasa mengerjakan sembahyang berjemaah di dalam sel pada waktu tersebut banduan akan bergilir-gilir menjadi imam sesama mereka," katanya. - BERNAMA
Ulasan GB
Mengajar Islam (berdakwah) dan mengislamkan orang lain adalah tugas mulia didalam Islam.
Sesiapa pun dari kalangan umat Islam boleh malah digalakkan melakukan kerja mengislamkan orang lain. Terlebih patut lagi kepada mereka yang mempunyai ilmu Islam kerana mereka akan ditanya kelak oleh Allah apakah mereka menyebarkan ilmu yang dikurniakanNya itu untuk menegakkan kalimah Allah.
Di dalam negara kita ini, ada kerja tambahan selepas mengislamkan seseorang iaitu mendaftarkan dengan jabatan agama Islam (dengan beberapa syarat seperti membawa saksi). Itu sekadar memenuhi formaliti untuk pengesahan dan untuk mendapatkan Kad Akuan Masuk Islam dan kemudian meminta muallaf berkenaan menghadiri kursus ilmu Islam terutama Kursus Intensif Fardhu ‘Ain atau Kelas Asas Fardhu ‘Ain anjuran mana-mana Jabatan Agama Islam / Cawangan Saudara Muslim di NGO-NGO Islam seperti PERKIM dan lain-lain.
Itulah pengalaman yang pernah GB lalui sewaktu mendaftarkan seorang muallaf satu ketika dulu.
Hakikatnya, seseorang itu telah Islam apabila dia mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan seorang Islam yang lain. Cuma syariatnya sahaja perlu memenuhi formaliti yang dinyatakan tadi untuk disahkan sebagai muslim di atas dunia ini.
Apa yang perlu diketahui juga, seseorang muallaf lebih selesa untuk belajar Islam dari orang yang disenanginya daripada mengahadiri kuliah secara paksa yang kadang kala lebih menambahkan kebingungan mereka terhadap Islam.
Sepatutnya Jabatan Penjara gembira dan berterima kasih kepada Imam Hoslan kerana turut membantu melaksanakan kerja dakwah di dalam penjara. Tetapi apa yang berlaku kerana politik, maka peranan imam berkenaan ditutup.
Justeru itu penafian jabatan Penjara di dalam hal ini sebenarnya amat tidak relevan samasekali.
Sepatutnya di dalam usaha dakwah kita berpegang kepada hadith Rasulullah yang mengingatkan kita supaya "sampaikan dariku sepotong ayat" (Hadith riwayat Bukhari) dan anjuran supaya kita "memudahkan dan bukan menyusahkan."
"Yassiru wala Tu'assiru, Bashshiru wala Tunaffiru",
yang bermaksud "pemudahkan jangan menyusahkan, beri khabar gembira bukan menakutkan" Hadith Riwayat Imam Ahmad.
klik untuk baca
Tiada ulasan:
Catat Ulasan