Jumaat, 30 Mac 2012

Lobi Israel Untuk Jadi Tuan Rumah Persidangan Gas Sedunia?




SHAH ALAM : PKR mendakwa pimpinan Umno-BN memohon bantuan dari Israel dengan melobi untuk menjadi tuan rumah Persidangan Gas Sedunia (World Gas Conference) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 4 hingga 8 Jun depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengesahkan usaha melobi ini bermula pada tahun 2005.

Malah, Malaysia turut menawarkan secara tidak langsung untuk menguruskan penginapan dan pendaftaran wakil-wakil Israel ke Persidangan IGU di Tianjin, China.

Pendekatan merayu bantuan Israel ini mendapat restu dan atas nasihat Wisma Putra. Penganjurannya pula dikendalikan oleh Persatuan Gas Malaysia yang diwakili oleh PETRONAS dan dinasihati oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“PKR mempunyai bukti kukuh termasuklah laporan, surat menyurat dan dokumen-dokumen lain yang mengesahkan sikap ‘talam dua muka’ Umno yang secara diam-diam merestui hubungan dua hala di antara Malaysia dan Israel sedang ia menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel,” kata Saifuddin dalam kenyataan media.

Tambah Saifuddin, penganjuran Persidangan Gas Sedunia dipilih melalui undi oleh anggota Pertubuhan Gas Antarabangsa (International Gas Union) yang turut dianggotai oleh Malaysia, Israel, Russia, Brunei, Indonesia dan banyak negara lain.

“Sikap Umno dan pimpinan mereka yang menentukan dasar Wisma Putra adalah bertentangan dengan keinginan rakyat Malaysia yang tidak mahu ada sebarang hubungan diplomatik sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Israel.

“Malah, pendedahan kali ini membongkarkan hipokrasi tertinggi Umno dan pimpinan mereka dalam isu hubungan dengan Israel kerana bukan sahaja mereka menyatakan hasrat untuk mengadakan hubungan diplomatik, malah terbukti mereka pernah melutut merayu sokongan dari Israel,” kata Saifuddin.

Justeru, PKR mendesak penjelasan kerajaan mengenai pendirian yang diambil sehingga merestui pendekatan pihak penganjur Persidangan Gas Sedunia yang merayu bantuan dan sokongan Israel.

Tiada ulasan: