Sabtu, 31 Mac 2012

Pagar Parlimen Indonesia Diroboh Dalam Demonstrasi Pagar



Beginilah keadaan pagar Parlimen Indonesia yang musnah akibat perbuatan penunjuk perasaan.

JAKARTA: Penunjuk perasaan yang melakukan demonstrasi di luar kawasan Parlimen Indonesia bagi membantah rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak bersubsidi telah bertindak merobohkan sebahagian pagar kawasan itu petang Jumaat.

Mereka merobohkan pagar sebelah kiri dan kanan pintu gerbang utama Parlimen Indonesia, ketika para wakil rakyat sedang bersidang untuk membuat keputusansama ada meluluskan atau menolak rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak bersubsidi sebanyak Rp1,500 (55 sen) mulai bulan depan.

Kejadian itu memaksa anggota pasukan keselamatan membentuk sekatan bagi menghalang penunjuk perasaan daripada menyerbu masuk ke bangunan Parlimen.

Beberapa kumpulan penunjuk perasaan telah mengadakan demonstrasi di luar bangunan Parlimen sejak pagi ini, dalam tindakan demonstrasi secara besar-besaran hari ini bagi membantah rancangan kenaikan harga minyak itu.

Polis menyediakan 22,000 anggota pasukan keselamatan termasuk 8,000 anggota tentera bagi mengawal keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di ibu negara serta bandar-bandar di sekitar Jakarta. Pasukan keselamatan telah membuat persediaan untuk mengawal keadaan terhadap demonstrasi besar-besaran yang mereka jangka akan disertai 81,000 orang di seluruh negara pada Jumaat.

Di Jakarta, penunjuk perasaan menumpukan demonstrasi di tiga tempat iaitu di luar Parlimen, di Bulatan Hotel Indonesia dan di luar Istana Merdeka, iaitupejabat Presiden Indonesia.

Demonstrasi sama turut diadakan di sejumlah bandar di seluruh negara. Sehingga berita ini ditulis malam Jumaat, persidangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) belum membuat keputusan mengenai cadangan kerajaan itu kerana dua parti gabungan dalam kerajaan mengambil pendirian untuk tidak menyokong rancangan tersebut.

Parti-parti pembangkang telah sejak awal menolaknya.

Ketua DPR Marzuki Alie menangguhkan sementara persidangan pada petang ini bagi sesi melobi sokongan untuk undian.

"Kerana masih ada perbezaan pandangan di antara parti-parti, kita harus mencari formula dalam forum lobi, tidak mungkin dalam persidangan," kata Marzuki. Antara kumpulan yang berdemonstrasi di Jakarta ialah 1,000 penunjuk perasaan yang mewakili beberapa pertubuhan Islam dan mereka telah berarak dari Bulatan Hotel Indonesia menuju Istana Merdeka.

Mereka membawa sepanduk bertulis bantahan terhadap kenaikan harga minyakyang mereka sifatkan sebagai satu bentuk kemaksiatan.

Pertubuhan-pertubuhan yang bergabung dalam sebuah badan bernama Forum Umat Islam itu termasuklah Nahdlatul Ulama, Front Pembela Islam (FPI) dan Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII).

Sementara itu, akibat tindakan sekumpulan mahasiswa yang berdemonstrasimenyekat laluan kereta api Purwokerto-Yogyakarta di beberapa lintasan kereta apitengah hari ini, jadual dua perkhidmatan kereta api tergendala. - BERNAMA

Tiada ulasan: