Khamis, 1 Mac 2012

Berita The Star gantung editornya paling popular

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 1 Mac: Ekoran meletupnya isu Erykah Badu, akhbar The Star yang dimiliki oleh MCA sudah membuat tiga kali penjelasan dan permohonan maaf.

(Gambar dari laman The Star)

Berita penyataan The Star bahawa dua editornya digantung serta merta juga menjadi berita yang paling banyak dibaca oleh pembaca versi online akhbar itu hari ini.

Isu ini dipecahkan oleh Harakahdaily apabila menyiar komen seorang pembacanya dengan berita bertajuk 'Kenapa akhbar The Star siar gambar ini?' pada 27 Februari yang mempertikaikan kenapa akhbar ini menyiarkan gambar Erykah bertatoo nama Allah itu.

Ekoran itu, The Star menyiarkan permohonan maaf dalam laman onlinenya.

Hari ini, Editor The Star membuat penjelasan dan berkata, tidak ada niat jahat dalam penyiaran gambar ini.

Ini kerana mereka tidak faham tulisan nama Allah dalam bahasa Arab yang tertulis dalam tatoo pada dada artis berkenaan.

The Star juga bertindak menggantung serta merta dua editor yang terlibat menyiarkan gambar ini iaitu Senior Editor Lim Cheng Hoe dan timbalan editor Daryl Goh.

Serentak dengan itu juga, The Star telah memberikan tugasan tambahan kepada dua Editor Bersekutunya yang beragama Islam, Shah A Dadameah dan Rozaid Abdul Rahman untuk memantau isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Pada hari penyiaran gambar Erykah, Kementerian Dalam Negeri telah memanggil tiga editor kanan The Star untuk memberikan penjelasan.

(Poster konsert Erykah tanpa tatoo nama Allah)

Ekoran itu, timbalan menteri dalam negeri dari MCA berkata, KDN akan menunggu penjelasan bertulis The Star sebelum memutuskan apa-apa tindakan.

Nasib akhbar ini juga ditimpa malang apabila penganjur konsert Erykah dan Erykah Badu sendiri menyalahkan The Star kerana menyebabkan mereka ditimpa masalah.

Mereka menyalahkan akhbar ini kerana menyiarkan gambar bertatoo nama Allah itu sedangkan poster konsert ini juga menggunakan gambar yang sama tetapi membuang tatoo Allah pada gambar itu.

Sebelum kejadian gambar Erykah ini, The Star sudah dua kali menerima amaran dari KDN.

Ia bermula dengan tulisan managing editor P Gunasegaram pada awal Februari tahun lalu, yang mempertikaikan undang-undang syariah di Pahang yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas Kartika yang didapati bersalah meminum arak di sebuah kelab malam.

Bulan Ramadhan lalu, sekali lagi KDN menghantar surat amaran kepada The Star selepas menyiarkan tulisan daging babi panggang untuk juadah berbuka puasa.

Tiada ulasan: