Jumaat, 27 Januari 2012

Tuan Ibrahim: Anwar Wajar Saman Utusan

Oleh Lizawati Madfa


SHAH ALAM : Tindakan menyaman akhbar Utusan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM 50 juta disifatkan sebagai tindakan yang tepat bagi mempertahankan maruahnya yang sering diperkotak-katikkan di dada akhbar terbabit, menurut Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim turut menyatakan media milik Umno itu sering memainkan isu-isu yang bersifat fitnah dan jauh dari landasan fakta.

"Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyaman dilihat sebagai tindakan peribadi beliau mempertahankan maruah dirinya yang telah dirosakkan dan diaibkan sebegitu rupa.

"Dan kebanyakan laporan yang disiarkan di media seperti Utusan lebih berbentuk fitnah dan di luar batas-batas yang sepatutnya di patuhi oleh mereka," ujar Tuan Ibrahim yang ditemubual melalui panggilan telefon.

Lantas tindakan saman ini diharap dapat memberi pengajaran kepada seluruh media untuk bertindak lebih profesional dan matang menyampaikan maklumat.

Ujar beliau, tindakan berterusan media pro-BN yang berterusan menyerang Anwar dilihat sebagai strategi mencalar imej Ketua Pembangkang serta mengekang kemaraan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat tempat di hati rakyat.

"Di samping keupayaan menyatupadukan parti-parti pembangkang di Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dilihat sebagai seorang pemimpin yang dilihat rakyat sebagai pemimpin yang mampu menerajui kerajaan pakatan.

"Itulah yang dibimbangkan oleh kerajaan sekarang kerana walaupun dihina dan difitnah dengan hebat, rakyat terus menzahirkan sokongan kepada Anwar. Inilah karisma yang terdapat pada beliau," jawab Tuan Ibrahim.

Katanya segala tohmahan dan fitnah aib yang dipalitkan kepada Anwar perlu dihentikan dan berharap agar semua pihak dapat berpolitik secara matang.

"Diharapkan semua pihak dapat menghentikan serangan peribadi terhadap beliau kerana bagi saya beliau juga manusia biasa yang memerlukan ruang kehidupan yang tenang bersama keluarganya.

"Dan sudah sampai masanya untuk kita berpolitik secara matang. Marilah sama-sama kita fikirkan masa hadapan negara dari sudut ekonomi, sosial dan politiknya supaya tidak bersifat remeh-temeh yang tidak membawa sebarang manfaat kepada negara," ujar Tuan Ibrahim.

Tiada ulasan: