Ahad, 29 Januari 2012

Menilai semula sikap rakyat terhadap ahli politik wanita

Alicia Izharuddin


Sudah menjadi tabiat sesetengah orang Malaysia menghina perempuan dengan kekerasan yang berbaur seksual dan kelucahan; ancaman rogol dan dikecam sebagai pelacur atau perempuan murahan. Lelaki yang dikritik dan dimaki hamun tidak akan menerima kecaman yang sebegitu. Ini adalah kerana orang perempuan dianggap sasaran yang lemah layu dan mudah ditakluki.

Herdikan terhadap Ceylyn Tay (gambar kiri), ahli majlis bandaraya Ipoh dan wakil Gerakan, setelah ucapannya di sebuah acara 1Malaysia di Ipoh awal bulan ini yang dipapar dalam beberapa video di Youtube tidak lepas daripada unsur-unsur seksis dan kekerasan. Antara isu kontroversial yang diujar oleh beliau termasuklah cadangan supaya negara mendirikan sistem satu parti dan pendapatnya bahawa golongan minoriti tidak boleh berharap untuk layanan yang saksama di Malaysia.

Reaksi penonton klip-klip video tersebut menjangkau angka ribuan, hampir kesemuanya negatif. Ini sepatutnya menjadi pengajaran bagi mereka yang berani menampilkan diri sebagai wakil rakyat supaya meneliti retorika mereka terlebih dahulu. Tetapi saya percaya sungguh kebarangkalian "fact-checking" dan introspeksi itu berlaku sangat tipis sekali, kerana ramai daripada ahli-ahli politik kita memang seadanya mengusung dan mengesahkan budaya anti-intelektual dan anti-akademik.

Untuk mengatakan bahawa Ceylyn Tay cukup jahil tentang komposisi agama dan etnik di Amerika Syarikat dan bahayanya sistem satu parti adalah satu perkara, kritikan yang menyentuh isu-isu peribadi dan kebolehannya berpolitik kerana beliau adalah seorang wanita adalah perkara lain pula yang dikategorikan sebagai seksis.

Kita sering bertanya mengapa kurangnya wanita berkecimpung dalam arena politik tanpa menyedari bahawa kedudukan wanita di pentas awam - seperti politik dan media - sangat tidak stabil dan sering dijadikan sasaran kata-kata - bitch, sundal, dan sebagainya - yang sengaja digunakan untuk mempermalukan mereka sebagai perempuan yang tidak bermoral. Ini tidak bermaksud politikus lelaki bebas daripada serangan yang menyentuh seksualiti; kejantanan ahli politik dan pengikutnya dipersoalkan dengan makian homofobik seperti pondan, bapuk, dan sebagainya di saat perbalahan mulut. Bezanya mereka dicabar tidak cukup "jantan", bukannya dengan panggilan objek seks yang hina.

Hasil daripada sebuah penelitian tentang sebab-sebab kurangnya wanita dalam politik di Amerika Syarikat dapati bahawa terdapat pelbagai jenis kekangan dan hambatan yang unik yang terpaksa ditempuhi oleh wanita dalam dunia politik. Saya berpendapat bahawa rumusan penelitian ini boleh digunapakai di konteks sosial dan politik di Malaysia. Oleh kerana wanita jugalah yang memikul tanggungjawab yang lebih besar sebagai pengurus rumah-tangga dan pengasuh anak, kerjaya dalam dunia politik sudah tentu menjadi lebih sukar. Peranan sebagai pemimpin atau wakil daerah bahkan negara dilihat sebagai sesuatu yang maskulin, bercanggah dengan kudrat wanita yang kononnya lemah-lembut dan keibuan. Kerana wanita jarang menyandang peranan pemimpin, mereka tidak lazim diberikan dorongan dan sokongan yang melambung seperti sesetengah pemimpin lelaki, apatah lagi yang masih muda dan mewakili parti yang paling dominan di Malaysia.

Kita tidak perlu lihat jauh betapa kejinya kritikan seksis dan ad hominem yang dilemparkan ke arah wanita-wanita dalam arena politik yang paling "high profile" di Malaysia, sama ada yang bergelar menteri, wakil konstituensi, atau isteri politikus. Maka tidak hairanlah pucuk pimpinan sering jauh sekali daripada genggaman wanita. Taktik yang telah digunakan untuk mencemarkan nama Elizabeth Wong dengan gambar-gambar peribadinya pada tahun 2009 merupakan contoh bagaimana kesemua maruah orang perempuan di Malaysia boleh dijatuh dan diinjak-injak dengan gambar, video, dan desas-desus lucah dengan bertujuan untuk memalukan kita. Tetapi penting juga bagi ahli politik wanita untuk tidak menggunakan jantinanya sebagai "perisai" daripada kritikan. Contohnya, Ng Yen Yen (gambar kanan) pernah mengadu dirinya dilayan tidak adil kerana beliau seorang ahli politik wanita, padahal dia diserang ketika itu kerana tidak menyelesaikan masalah perlombongan emas dengan cyanide di Bukit Koman, kawasan yang beliau dirikan sebagai "homestay". Kritikan adalah penting untuk berdialog dan berkonfrontasi, tetapi budi bicara penyampaiannya adalah lebih penting lagi.

Saya juga ingin mengetengahkan bagaimana ancaman rogol sering digunakan sebagai senjata dalam serangan mulut (mudah-mudahan setakat mulut sahaja) untuk membisukan perempuan. Seperti yang telah saya gariskan dalam kolum saya tentang mesej di sebalik filem Ombak Rindu, di mana jenayah rogol tidak dianggap sebagai penindasan. Malah ia dikontekskan sebagai dasar cerita yang romantik semata-mata. Di sini kita dapat lihat bahawa ugutan rogol adalah modus operandi yang digunakan lelaki (dan hanya lelaki) untuk menakutkan dan mengkritik orang perempuan. Tidak mengira darjat dan usia, setiap orang perempuan akan digertak secara seksual jika didapati mencabar dan melampaui tatasusila keperempuanan.

Kedudukan di sebalik layar komputer memberikan pengguna internet penuh keberanian untuk mengkritik tanpa batas, pertimbangan, dan rasa bertanggungjawab; inilah yang menyumbang kepada kualiti komen-komen di ruangan maya seperti Youtube dan laman-laman sepertinya. Ini tidak bermaksud keberanian itu wujud di alam maya sahaja; ancaman rogol terhadap perempuan sudah menjadi kebiasaan dan remeh di tempat-tempat awam dan di rumah.

Insiden Ceylyn Tay di Youtube harus memberikan beliau dan ahli politik wanita baru mahupun lama yang lain ketegaran untuk terus menempuh dunia politik Malaysia yang dikuasai lelaki dan tidak dikasihani rakyat. Dan selain mewujudkan kuota bagi bilangan wanita dalam arena politik, budaya yang lebih mesra kepada ahli politik perempuan dan menggalakkan penyertaan wanita dalam bidang politik di Malaysia mereka tidak boleh dijadikan sasaran kritikan yang berupa keganasan, seksual, lucah, misogynis, dan menyentuh paras rupa dan mencaci orang kurang berupaya (dengan panggilan "cacat", "spastik" atau "retard"). Seksisme yang menyelinap masuk dalam kesemua peringkat sosial dan politik akan terus menjadi kekangan, tetapi dengan mengenalpastinya sahaja adalah langkah pertama dalam menangani wabak sosial dan budaya ini.

*Alicia Izharuddin adalah pelajar Doktor Falsafah dalam kajian Islam, gender, dan media.

Tiada ulasan: