Ahad, 29 Januari 2012

DAP tuntut KPDNKK perjelas isu subsidi gula




Setiausaha Publisiti Nasional DAP Tony Pua. — Gambar fail
KUALA LUMPUR - DAP mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyatakan keperluan kerajaan menaikkan kadar subsidi gula dan menjelaskan sama ada benar kerajaan membayar sehingga RM198 juta setahun kepada dua syarikat yang memonopoli perniagaan gula di Malaysia: Malayan Sugar Manufacturing Holdings (MSM Holdings) dan Tradewinds Corporation Bhd.

Setiausaha Publisiti Nasional DAP Tony Pua meminta Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan perkara tersebut berikutan harga pasaran gula dunia secara keseluruhannya mengalami penurunan.

Jelas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini, berdasarkan laporan akhbar, kementerian berkenaan telah meningkatkan kadar subsidi gula sebanyak 20 sen kepada 54 sen sekilogram bagi mengekalkan harga gula pada RM2.30 sekilogram ekoran "kenaikan kadar gula dunia."

"Kerajaan perlu menjelaskan kenaikan kadar subsidi gula tersebut, berikutan kenaikan kadar subsidi sehingga 170 peratus setahun itu adalah tidak relevan berikutan harga pasaran gula dunia mengalami penurunan.

"Apa yang menjadi persoalannya, adakah harga pasaran gula dunia sejak enam bulan lepas terus meningkat sejak kali terakhir pada Mei 2011, sedangkan pasaran dunia menunjukkan penurunan.

"Malah, sejak meningkat pada nilai USD29.47 (RM89.66) seratus paun pada Julai 2011, harga gula mengalami penurunan berterusan setiap bulan, dengan USD28.88 (RM87.87) pada Ogos, USD26.64 (RM81.05) pada September, USD26.30 (RM80.02) untuk Oktober, USD24.52 (RM74.60) pada November, dan USD23.42 (RM71.26) untuk Disember pada kadar seratus paun," katanya.

Harga gula meningkat kali terakhir pada kadar 20 sen pada bulan Mei 2011 kepada RM2.30 sekilogram.

Namun begitu, kenaikan tersebut merupakan peningkatan daripada kadar RM1.45 sejak Januari 2010 dan apabila dinilaikan ia menjadikan peningkatan kepada 58.6 peratus kenaikan bagi tempoh hanya 18 bulan selepas tindakan kerajaan mengurangkan kadar subsidi.

Menurut beliau lagi, walaupun mengekalkan kadar harga gula pada RM2.30 sen sekilogram, kerajaan masih dapat mengurangkan perbelanjaan untuk kadar subsidi, bukannya semakin menambah perbelanjaan terhadap subsidi, seperti dakwaan menteri berkenaan yang dilihat berbangga dengan tindakan tersebut.

"Apa yang lebih mengelirukan adalah, jumlah subsidi kerajaan telah meningkat kepada 170 peratus bagi disesuaikan dengan "peningkatan mendadak" kadar semasa gula yang tidak wujud," katanya lagi.

Akhbar The Star semalam melaporkan, Ismail Sabri berkata,"harga gula dunia meningkat, tetapi kami tidak akan menaikkan kadar harga ... Kami mencuba sedaya upaya kami untuk mengurangkan beban yang ditanggung rakyat."

Tindakan itu menurut Tony seakan-akan menarik perhatian rakyat supaya melihat kebaikan kementerian berkenaan memberikan subsidi bagi mengekalkan harga barangan keperluan itu, sedangkan hakikatnya, pasaran gula dunia pula menunjukkan penurunan berterusan.

Kira-kira 99 peratus keperluan gula mentah Malaysia hari ini diimport, sedangkan pasaran gula di negara ini dimonopoli oleh dua syarikat gergasi, MSM Holdings dan Tradewind Corporation Bhd.

MSM Holding merupakan anak syarikat Felda dengan nilai pegangan saham sebanyak 71 peratus, dan Tradewind dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebanyak 43 peratus dan 20 peratus oleh Felda Global Venture Holdings Sdn Bhd.

Tiada ulasan: