Selasa, 31 Januari 2012

Tubuh Suruhanjaya Di Raja jika gagal siasat NFC – Zuraida

Oleh: Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin menggesa agar Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal menyiasat penyelewengan itu.

“Sekiranya tidak dapat menyiasat secara bebas, kami akan panggil RCI, ini kerana melibatkan dana awam.

“Persoalannya, sehingga kini tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap Datuk Salleh,” ujarnya.

Datuk Muhammad Salleh adalah Pengerusi NFC yang juga merupakan suami Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa hari ini, tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan RM250 juta oleh NFC.

“Hari ini kami berdua membuat laporan kepada SPRM berdasarkan laporan polis Shamsubahrin mengatakan Datuk Salleh menekannya melalui SMS dan panggilan untuk merasuah polis bagi menutup kes NFC.

“Ini bukan tuduhan liar daripada Shamsubahrin kepada Datuk Salleh kerana ada bukti berdasarkan laporan itu,” kata Sivarasa semasa sidang media di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan.

Katanya, sebagai badan yang bertanggungjawab, SPRM diminta menyiasat segera kerana bukti SMS itu jelas menunjukkan unsur rasuah.

“Datuk Salleh mesti disiasat kerana ada unsur rasuah, tetapi orang yang tidak menjalankan rasuah itu pula yang ditangkapnya.

“Kita bukan sahaja ada bukti SMS Datuk Salleh, tetapi ada beberapa bukti SMS daripada beberapa pegawai NFC menyuruh kes tersebut ditutup,” katanya.

Sementara itu, Zuraida mengingatkan kembali tragedi hitam melibatkan kematian saksi ketika proses siasatan dijalankan oleh SPRM.

“Kita mesti berhati-hati, takut nanti kes Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbini berulang. Kita akan menjaga saksi sebaik mungkin.

“Apa pun kita cabar SPRM siasat Datuk Salleh dan dituduh dimahkamah,” katanya yang juga Ketua Wanita KEADILAN.

Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan bukti skandal NFC berhubung dakwaan cubaan merasuah pihak berkuasa oleh Pengerusinya, Datuk Mohamad Salleh Ismail berdasarkan laporan polis Datuk Shamsubahrin Ismail pada 27 Januari lalu di Pondok Polis Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Shamsubahrin dalam laporan itu memberitahu beliau menerima sistem khidmat pesanan ringkas (sms) dari Salleh, yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil, supaya merasuh anggota polis.

Shamsubahrin sebelum itu dilantik oleh NFC sebagai Perunding dan penasihat Korporat pada 24 dan 28 November tahun lalu untuk membersihkan masalah dalam NFC dengan bayaran RM1.755 juta sebagai yuran perkhidmatan yang dibayar melalui syarikatnya, Shamsubahrin Ismail Resourses Sdn Bhd.

Tiada ulasan: