Sabtu, 28 Januari 2012

Geng 5 rancang tubuh Kelab BN Sarawak

Perlu diingatkan kelab ini bukannya satu parti politik tetapi satu organisasi yang menyokong jentera BN, kata Datuk Peter Nansian Ngusie.



BAU: Geng 5, sekumpulan lima wakil rakyat bekas ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) merancang untuk mendaftar Kelab Barisan Nasional (BN) Sarawak di kawasan masing-masing dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa terdekat.

Jurucakapnya, yang juga bekas Naib Presiden Kanan SPDP, Datuk Peter Nansian Ngusie berkata proses permohonan kelab seumpamanya sedang giat digerakkan termasuklah usaha mendapatkan reaksi serta maklum balas daripada masyarakat akar umbi terlebih dahulu.

Menurutnya, meskipun jawatankuasa protem bayangan bagi kelab berkenaan sudah ada, namun belum tiba masanya untuk mereka mendedahkannya sehingga ia dilancarkan secara rasmi kelak.

“Ya, rancangan kita dalam masa terdekat ini ialah untuk mendaftar Kelab BN Sarawak dengan ROS. Perlu diingatkan kelab ini bukannya satu parti politik tetapi satu organisasi yang menyokong jentera BN.

“Malah setakat ini, kita belum menerima sebarang bantahan atau reaksi negatif berhubung rancangan penubuhan Kelab BN Sarawak di konstituensi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Bersama Wakil Rakyat BN yang turut dihadiri Datuk Sylvester Entri Muran, Dato’ Dr Tiki Lafe, Paulus Palu Gumbang dan Rosey Yunus di Dewan Suarah Bau di sini semalam.

Bukan jalan penyelesaian

Sementara itu di Kuching, rancangan Geng 5 untuk menubuhkan Kelab BN Sarawak dilihat bukan jalan penyelesaian jangka panjang yang terbaik untuk mengatasi krisis dalaman Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah bekas wakil rakyat SPDP menubuhkan Kelab

BN di kawasan masing-masing mungkin hanya dapat menghentikan kemelut dalaman parti yang berlaku buat sementara waktu.

Sebaliknya beliau menaruh keyakinan dan percaya, cara penyelesaian terbaik ialah kumpulan yang berbeza pendapat itu sepakat mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi BN peringkat negeri dan pusat bagi membincangkan hal tersebut.

“Krisis SPDP ini ibarat masalah ‘abang dan adik’, justeru lebih baik mereka jangan menggunakan landasan media sebagai medium perdebatan yang akhirnya akan mengundang campur tangan pihak lain.

“Penubuhan Kelab BN hanya bersifat sementara dan tidak akan bertahan lama. Lagipun, saya khuatir langkah ini akan menjadi ikutan kepada parti komponen lain jika berlaku krisis dalaman dan akhirnya lebih banyak kelab dari parti,” katanya.

Beliau mengulas rancangan Geng 5 yang akan menghantar permohonan pendaftaran Kelab BN Sarawak kepada ROS ketika ditemui pemberita pada Majlis Program Bersama Pemimpin Masyarkat di Kampung Muara Tebas di sini semalam.

Tiada ulasan: