Selasa, 31 Januari 2012

Dedahkan maklumat penuh projek Lebuh Raya Banting-Taiping

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mendedahkan segala maklumat kepada rakyat mengenai skandal projek lebuh raya Banting-Taiping.

Ini kerana katanya, berlakunya peningkatan sehingga 134 peratus terhadap projek itu berbanding kos asal.

“Pentadbiran Najib perlu memberitahu rakyat samada projek mega itu mengikut dasar dan prinsip Program Transformasi Kerajaan (GTP) atau ia sesuatu yang tidak telus,” katanya dalam kenyataan pada 31 Januari lalu.

Menurutnya, projek yang diberi kepada kumpulan Europlus Bhd (Europlus) itu juga bertentangan dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan Najib.

“Sedangkan melalui GTP, kerajaan berjanji “mengurang ketirisan dana yang diperuntuk bagi pembangunan negara dan perbelanjaan operasi serta memastikan ketelusan dalam penganugerahan kontrak,” tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, langkah terbaik bagi menjawab kekeliruan rakyat mengenainya ialah dengan mendedahkan maklumat penuh mengenai projek itu.

“Pendedahan maklumat ini penting bagi memastikan skandal penyelewengan wang rakyat seperti yang berlaku sebelum ini tidak berlaku lagi,” ujarnya yang juga anggota Sekretariat Pakatan Rakyat.

Europlus sebelum ini mengumumkan menerima surat kelulusan membina lebuhraya itu daripada Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri (JPM), melibatkan pinjaman mudah RM2.24 bilion, subsidi faedah 3 peratus untuk 22 tahun dan Geran RM980 juta untuk pengambilan tanah.

Tiada ulasan: