MALAYSIA KINI
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak sedia dipecat berikutan tindakan penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sehingga mencetuskan kontroversi dalam pakatan pembangkangAzizan berkata, beliau tidak takut dan sesiapa yang mengkritiknya harus belajar undang-undang terlebih dahulu, lapor Berita Minggu.
Pemimpin PAS itu menjelaskan, AUKU masih terpakai di KUIN kerana institut pengajian tinggi itu tertakluk kepada peraturan Menteri Pengajian Tinggi, termasuk harus melaksanakan akta kontroversi itu.
Pada Mei lalu, lima mahasiswa KUIN digantung pengajian, antaranya kerana dituduh menyertai demonstrasi, memberikan ucapan kepada umum dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.
Bagaimanapun tempoh penggantungan bagi empat daripadanya telah tamat.
Tindakan itu mengundang kemarahan pelbagai pihak, termasuk NGO, kumpulan pelajar dan daripada dalam Pakatan Rakyat sendiri apabila Azizan didakwa mengetepikan persetujuan bersama dalam Buku Jingga yang mahu menghapuskan akta itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan