Penyerahan tersebut dilakukan oleh Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Haziq Abdullah Abd Aziz di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.
Dalam memorandum itu, jurucakap Bebas ini juga mendesak pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya terhadap pegawai polis yang menggunakan kekerasan dan keganasan terhadap mahasiswa dalam insiden di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada malam tahun baru lalu.
“Mahasiswa menuntut pihak polis segera menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan terhadap keganasan yang berlaku di UPSI tempoh hari.
“Memorandum tersebut mengandungi bukti keganasan pihak polis dan juga testimonial mangsa dan saksi keganasan mereka,” katanya lagi.
Menurut Haziq, salinan memorandum tersebut akan turut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dan juga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Sekiranya polis tidak mengambil sebarang tindakan, mahasiswa akan mengambil tindakan yang lebih tegas,” katanya.
Memorandum tersebut diterima oleh DSP Venugopal Navaratnam, Pegawai Penerbitan Cawangan Perhubungan Awam PDRM Bukit Aman.
Turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut adalah Presiden Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) Adam Adli, Pengerusi SMM, Ahmad Shukry Abd Razab, Timbalan Presiden Kami, Khalid Mohd Ismath, dan Dr Mohd Suhaimi Mat Aris, wakil Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) serta 20 penyokong kumpulan mahasiswa tersebut.
Sementara itu, Adam turut menyatakan dia bersiap sedia untuk perbicaraan kesnya di mahkamah UPSI pada 9 Januari depan.
“Saya sedang bersiap sedia untuk hadir ke mahkamah UPSI untuk perbicaraan kesalahan menurunkan bendera Datuk Seri Najib.
“Di situ nanti kita akan melihat sejauh mana pihak universiti akan menggunakan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan sejauh mana ia berfungsi,” katanya lagi.
Adam turut menjelaskan, perbicaraan tatatertib di mahkamah institusi pengajian tinggi adalah lebih kejam kerana tiada ruang untuk membela diri.
“Mahkamah luar kita lihat ada hukuman tetap untuk setiap kesalahan yang dilakukan, tetapi perkara itu tidak berlaku di mahkamah institusi pengajian tinggi,” tambahnya.
Insiden di UPSI malam 1 Januari awal minggu lalu telah mengakibatkan seorang pemimpin mahasiswa, Muhammad Safwan Anang mengalami kecederaan dan dimasukkan ke Hospital Slim River.
Dalam kejadian itu, Safwan telah mengalami kecederaan pecah di bahagian kiri bibir apabila mendakwa pihak polis menumbuk bahagian kiri mukanya dan ditendang menggunakan lutut yang mengakibatkan dia tidak sedarkan diri selama lebih kurang sejam.
Safwan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam dalam keadaan masih lagi berkerusi roda.
Dia yang diwakili peguam Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi menegaskan pihak polis tidak mengeluarkan bukti penuh rakaman video insiden tersebut, sebaliknya mendakwa, rakaman video tersebut adalah rakaman sebelum kejadian keganasan dilakukan pihak polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan