Rabu, 4 Januari 2012

Penulis blog Umno dilaporkan sertai DAP


MALAYSIA KINI

Penulis blog Sakmongkol AK47 yang juga bekas ADUN Pulau Manis dari Umno, Mohd Ariff Sabri Aziz dilaporkan telah menyertai DAP.

Selain Sakmongkol yang merupakan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan sehingga tahun 2004, turut dikatakan berbuat demikian ialah seorang lagi penulis blog Umno dan veteran parti itu, Aspan Alias (bawah, kanan).

NONEAriff Sabri (kiri) dipercayai meninggalkan Umno berikutan artikel terbaru menerusi laman blognya yang berjudul "Hutang Umno pada budi orang Melayu" yang membidas parti itu.

“Sebagai contoh, kami berdua merasakan Umno sudah bertukar watak menjadi suatu Frankenstein yang tidak lagi boleh dikawal.

"Ia menjadi wadah untuk mencuri harta benda rakyat, membelakangkan political decency, memanipulasi rule of law, dan paling dasyat sekali melupakan budi orang Melayu kepada Umno," tulisnya.

Menurut Ariff Sabri, Umno menjadikan orang Melayu peminta sedekah kepada parti itu dan bukan pemberi rezeki orang Melayu yang beragama Islam.

“Ia menjadi orang Melayu peminta sedekah kepada Umno. Umno bukan pemberi rezeki orang Melayu yang beragama Islam.

“Sanggupkah kita menerima dan melihat orang Melayu tertunduk tunduk sebagai tambi suruhan? Inilah yang di lakukan oleh Umno hari ini kepada orang Melayu,” katanya.

Berita kedua-dua pemimpin veteran Umno menyertai DAP itu juga disiarkan di FreeMalaysiaToday yang mana Ariff Sabri adalahseorang kolumnis di portal berita itu dan juga akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan Online.

Malah, beliau juga dilapor memberitahu FMT bahawa beliau kagum dengan DAP yang merupakan parti komponen Pakatan Rakyat kerana cara kerja mereka yang fokus dan sentiasa berfikir – jauh berbeza dengan orang-orang Umno.

NONE“Saya percaya DAP kini lebih relevan dan berfungsi daripada Umno dalam membina negara yang lebih demokratik dan bebas.

“Dalam DAP saya boleh bercakap tentang jerih perih Melayu terpinggir dengan lebih bertenaga berbanding dengan di dalam Umno.

“Umno kini menutup sebelah mata terhadap rasuah dan salah guna kedudukan politik. DAP membenci ciri-ciri ini,” kata Ariff Sabri dipetik FMT.

Bekas wakil rakyat Umno itu juga menegaskan yang penyertaannya dalam DAP satu bukti bahawa Umno bukanlah satu-satunya parti yang boleh membela nasib Melayu.

“Sebagai Muslim, saya menukar wadah, bukan akidah…dan ini sangat ditakuti Umno. Mereka risau monopoli mereka ke atas Melayu kini berakhir,” katanya lagi.

Tiada ulasan: