Rabu, 18 Januari 2012

Mesyuarat MTUC : Presiden Dan Setiausaha Agungnya Dijangka Hadapi Undi Tidak Percaya

Post Pic



SHAH ALAM : Mesyuarat majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang akan diadakan esok dijangka hangat dengan beberapa kesatuan gabungan mahu membawa usul undi tidak percaya terhadap presiden dan setiausaha agungnya berhubung kontroversi pindaan Akta Kerja yang diluluskan Parlimen akhir tahun lalu.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad, Abdul Razak Md Hassan yang mewakili sejumlah kesatuan gabungan yang tidak berpuas hati berkata, pihaknya mempunyai sokongan yang cukup untuk berbuat demikian esok.

Bagaimanapun beliau enggan memberi butiran atas faktor strategi tidak mahu usaha mereka gagal.

Mesyuarat majlis Am MTUC akan berlangsung di ibu pejabat pergerakan di Subang Jaya, pagi esok.

Khalid Atan merupakan Presiden kesatuan manakala Setiausaha Agungnya ialah Abdul Halim Mansor, yang masing-masing menang pemilihan MTUC Disember 2010.

Difahamkan MTUC yang berpecah kepada tiga kumpulan dengan masing-masing mempunyai pendirian berbeza berhubung usaha membawa usul itu.

"Kita akan bawa undi tidak percaya ke atas presiden dan setiausaha agung atas isu kedua-dua mereka tidak memainkan peranan mereka dengan berkesan, sebagaimana diamanahkan... akibat sikap mereka membelakangkan kepentingan kesatuan sekerja, kita kecundang dalam isu Akta Kerja," katanya dipetik Sinar Harian Online.

"Kepimpinan MTUC tidak membuat kerja bersungguh-sungguh dalam isu Akta Kerja," kata beliau lagi.

Ekoran sikap itu, katanya, "pada hari ini seolah-olah MTUC tidak lagi memainkan peranan yang diharapkan dan sudah tidak dihormati oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan."

MTUC memprotes Rang Undang-undang Kerja khususnya peruntukan yang berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

Meskipun dibantah badan induk kesatuan sekerja itu, Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011) telah diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada sesi persidangan yang lalu.

Sebelum ini kesatuan itu mendakwa presiden dan setiausaha agung tidak memperlihatkan sikap proaktif bagi mengenakan tekanan ke atas kerajaan dan gagal memberi gambaran mengenai perkembangan semasa kepada anggota gabungan mengenai status pendirian dan tindakan diambil MTUC berhubung rang undang-undang itu.

Kesatuan itu mendakwa kedua-dua mereka tidak bertindak mengikut mandat yang telah diberikan oleh majlis am sebelum ini.

Rang undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu – tiga hari selepas MTUC mengadakan piket di pekarangan bangunan Parlimen.

MTUC mengadakan piket kebangsaan pada 3 November dan perhimpunan peringkat Selangor-Wilayah Persekutuan, 2 Disember lalu.

Dewan Negara pula meluluskannya pada awal Disember.

Tiada ulasan: