Rabu, 18 Januari 2012

Pas Setuju Exco Barunya Tidak Diberi Portfolio Hal Islam, Kata Khalid

Post Pic



SHAH ALAM : Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersetuju Exco baru daripada parti itu, Dr Ahmad Yunus tidak diberikan portfolio Hal Ehwal Islam sebagai amalan sebelum ini, menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Saya telah diberikan tanggungjawab untuk menentukan.... jadi saya rasa perlantikan Dr Yunus mendapat restu dari kepimpinan PAS,” kata Khalid pada sidang medianya.

“Jadi maknanya ia bukan satu perlantikan yang tidak mengambil kira pemikiran dan juga pandangan dari semua pihak,” tambah beliau.

Beliau mengulas rasional pelantikan Yunus sebagai Exco Hal Ehwal Adat Melayu, Belia dan Sukan manakala Khalid sendiri mengambil alih tugas Exco Hal Ehwal Islam.

Yunus, Adun Sijangkang menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat oleh parti itu minggu lalu.

Hasan memegang jawatan Exco Hal Ehwal Agama, Adat Resam Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam sejak tahun 2008.

Khalid menafikan Yunus tidak diberikan portfolio agama kerana tidak yakin kemampuannya tetapi membayangkan pengalaman beliau adalah lebih sesuai untuk urusan lain.
"Kita gunakan peluang ini untuk cepat menyelesaikan pentadbiran. Saya berpendapat Dr Yunus sudah mempunyai pengalaman dalam Belia dan Sukan, sebab itu dia boleh terus menjalankan tugas tersebut"

Khalid berjanji untuk menggalas tugas Exco Hal Ehwal Agama secara komited untuk meningkatkan syiar Islam namun berkata kerja itu harus dilakukan dengan mengambil kira keadaan semasa.

"Usaha untuk mempertingkatkan agama Islam adalah usaha berterusan. Jadi itu tugas saya, tetapi tugas itu berhemah dan mengambil kira persekitaran,” kata beliau.

Komen Khalid itu dilihat untuk meleraikan rasa cemas DAP yang sebelum ini menegur Hasan beberapa kali kerana menyifatkan beliau sebagai keterlaluan dalam usaha menangani isu murtad dan penjualan arak di negeri ini.

Pengambil alihan portfolio has ehwal agama oleh Khalid daripada Pas akan mengundang persepsi bahawa parti itu sanggup tunduk kepada rakan parti komponen Pakatan Rakyat sehingga tidak lagi menerajui penguatkuasaan undang-undang syariah di negeri ini.

Khalid berkata, kedudukan Hasan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor akan ditentukan oleh Sultan Sharafudin Idris Shah.

Hasan digugurkan sebagai Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam beberapa hari selepas Pas memecatnya daripada parti itu kerana didakwa bertindak membelakangkan kepentingan Pas.
Keputusan itu diambil setelah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali mendesak tindakan diambil kerana Hasan membantah perhimpunan anjuran parti itu sempena keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai pertuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada ulasan: