Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: “Semakin kuat mahasiswa ditekan, semakin ramai akan bangkit dan semakin ramai ikon perjuangan mereka mampu dilahirkan,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohd Nor. Justeru, katanya Muhammad Safwan Anang dan Adam Adli kini telah menjadi sebutan rakyat dan menjadi idola mahasiswa bagi memperjuangkan keadilan. Menurutnya, mereka adalah ikon rakyat yang cintakan keadilan, kemakmuran, kesejahteraan, ketelusan dan kebebasan. Sehubungan itu, katanya DPPM mengucapkan tahniah di atas keberanian mahasiswa menyatakan kebenaran dengan mengadakan himpunan aman bagi membantah Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) sehingga menyebabkan 2 orang pelajar mengalami cedera parah semasa himpunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tahun baru 2012 lalu. “DPPM menganggap perkembangan ini yang bermula dengan insiden menurunkan bendera oleh seorang mahasiswa, Adam Adli sehingga ke tragedi di UPSI malam tahun baru 2012 menunjukkan proses kematangan dan kedewasaan mahasiswa,” ujarnya kepada Harakahdaily. Menurutnya lagi, mahasiswa kini sudah mampu memposisikan diri mereka sebagai golongan yang bersuara mewakili segmen masyarakat yang inginkan keadilan, dan kebebasan. Tambahnya, mahasiswa telah keluar dari kepompong ketakutan yang selama ini membelenggu mereka sehingga berani bersuara mendesak agar Auku dimansuhkan segera. “Gerakan mahasiswa seharusnya mampu mencorakkan masyarakat menjadi golongan yang peka, sensitif, dan responsif terhadap persekitaran mereka,” katanya. Beliau berkata, masyarakat akan cepat sedar terhadap kebobrokan yang berlaku melalui sesuatu isu dan rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan oleh pemerintah. “Sudah berpuluh tahun mahasiswa di halang dari berfikir secara matang ke atas sesuatu isu yang berlaku. Sebaliknya mereka perlu dipandu supaya haluan mereka mengikut lunas kemanusiaan dan menurut syariat Islam serta norma budaya masyarakat di negara ini,” ujarnya. Menrutnya, mereka wajar didorang agar bertindak positif demi memastikan negara berada pada landasannya yang sebenar. Justeru, tegasnya DPPM mengingatkan kerajaan bahawa tindakan zalim dan keras ke atas mahasiswa tidak sesekali mematikan api perjuangan mereka, malah akan memarakkan lagi arus perjuangan. Tambahnya, tragedi pembantaian mahasiswa di depan UPSI tempoh hari tidak menggentarkan mereka, sebaliknya mereka bingkas untuk mengadakan banyak lagi siri himpunan aman membantah Auku. |
Rabu, 4 Januari 2012
Makin kuat ditekan, makin ramai mahasiswa bangkit
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan