Selasa, 18 Oktober 2011

SPR tangguh bicara kes bantahan pengundi pos

Muhammad Yusri Amin


KETEREH: Pada akhir tahun lepas penduduk tempatan membantah tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyenarai seramai 499 isteri anggota tentera yang bertugas di Kem Desa Pahlawan sebagai pengundi pos.

Ketika perbicaraan diadakan, pengundi terbabit mendedahkan tidak mengetahui nama mereka disenaraikan sebagai pengundi pos. SPR akhirnya menerima bantahan tersebut.

Bagaimanapun ketika semakan daftar pemilih tambahan bagi suku kedua baru-baru ini, undi pos di kalangan isteri tentera disenaraikan semula.

Kali ini terdapat seramai 408 pengundi pos isteri anggota tentera disenarai pada daftar tambahan itu.

Persoalannya siapa yang mendaftar bagi pihak isteri anggota tentera terbabit. Mungkinkah ada pihak lain di Kementerian Pertahanan atau pihak mana.

Kemunculan senarai baru pengundi pos isteri tentera itu dibantah lagi. Perbicaraan proses bantahan itu diadakan di hadapan pegawai SRP bermula Khamis lalu. Pegawai kanan SPR dari Putrajaya juga hadir.

Hari kedua perbicaraan diadakan semalam, namun terpaksa ditangguh ekoran bantahan dibuat PAS.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak pembantah mempertikaikan tatacara perbicaraan memandangkan orang kena bantah (OKB) tidak dapat menjelaskan borang memohon undi pos diisi sendiri.

Katanya, keraguan itu pada peringkat awal cuba dipertahankan SPR tanpa dapat menunjukkan dokumen bagi mengesahkan pengundi pos terbabit mengisi sendiri borang A.

”Kami membuat bantahan terhadap tatacara pengendalian perbicaraan SPR dan akhirnya pegawai menangguh kes tersebut bagi merujuk kes itu kepada Putrajaya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Pejabat Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.

Turut hadir Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Zulkifli Mamat, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff, anggota Parlimen Ketereh, Abdul Aziz Abdul Kadir, Pengarah Pilihan Raya Ketereh, Mohd Asri Abdul Rahman dan Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood.

Hadir sama mantan Ahli Dewan Negara, Ahmad Rusli Ibrahim dan mantan Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sabri Shafei. Sebelum itu lebih 500 penduduk tempatan yang hadir menunaikan solat hajat di perkarangan pejabat berkenaan.

Perbicaraan awam proses bantahan itu bermula 13 Oktober dan dijangka berakhir 27 Oktober.

Takiyuddin yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, bantahan yang dibuat itu terhadap SPR dan bukan melibatkan OKB.

Tiada ulasan: