Sabtu, 22 Oktober 2011

SLOGAN HIMPUN!!! 'Hidup Melayu Hidup Islam' , bagaimana yang bukan Melayu beragama Islam?

PASPB


Jika diteliti slogan-slogan yang dibenarkan oleh pihak penganjur dalam Himpunan Sejuta Umat yang akan diadakan di Shah Alam hari ini, bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menempelak dalang-dalang yang cuba mengelirukan orang Islam.

Apa relevannya slogan "Melayu Sepakat Melayu Berdaulat" dan "Hidup Melayu Hidup Islam" yang mahu diperjuangkan puak-puak berdarah Umno-APCO ini?


Jika menurut penjelasan Dr Asri, istilah Ketuanan Melayu (Malay Supremacy) jelas cuba mempertahankan Umno-APCO yang semakin lama semakin ditolak oleh orang Melayu sendiri.


Dan slogan "Hidup Melayu Hidup Islam" jelas mendahulukan kaum berbanding agama - secocok dengan slogan Umno-APCO "Untuk Bangsa, Agama dan Negara".


Sedangkan yang sepatutnya menurut ajaran Islam, agama perlu dipertahankan barulah bangsa atau sesuatu kaum.


Maka tepatlah keputusan Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru ahli-ahlinya tidak menyertai himpunan tersebut walaupun Exco Agama Selangor, Hassan Ali bakal hadir atas kapasiti individu dan bukan lagi PAS.


Juga tindakan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim bersikap terbuka tidak melarang penjawat awam negeri dari menghadiri himpunan serta tidak akan dikenakan tindakan menunjukkan kerajaan negeri secara halus meminta kakitangannya berfikir dengan lebih mendalam kesan terhadap diri masing-masing selepas berada di sana.


Kini kita hanya menunggu apakah himpunan yang sarat dengan agenda perkauman ini berjaya memartabatkan Islam atau sebaliknya akan terus menjauhkan orang bukan Islam memahami Islam dalam erti kata sebenarnya.


JALAN PULANG





IKTIKAD ‘KETUANAN MELAYU’ MENYANGGAHI ISLAM

Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin


http://drmaza.com/home/?p=1296


Merujuk kepada isu ‘Ketuanan Melayu’ yang dijadikan isu sekarang, maka di sini saya ingin menyentuh beberapa perkara;


1. Istilah ‘Ketuanan Melayu’ (malay supremacy) adalah istilah yang kabur.


Tiada pentakrifan khusus kepada istilah ini.


Lagipun tiada ungkapan rasmi dalam perlembagaan.


Maka adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.


2. Namun, jika merujuk kepada perkataan yang digunakan ia dari akar perkataan ‘tuan’ kepada ketuanan dan digabungkan dengan ‘melayu’, ia bermaksud orang melayu berada dalam status ‘tuan’ atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy).


Jika merujuk kepada bahasa bererti orang melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan ‘bukan melayu’.


Jika hendak ditakrifkan maka bererti ‘kedudukan orang melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia’.


3. Ia berbeza dengan sekadar ungkapan ‘hak keistimewaan melayu’, kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain.


Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya.


Maka, perkataan ‘keistimewaan’ tidak boleh disamakan dengan ketuanan.


4. Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam.


Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka ‘bangsa terpilih’ (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam.


5. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya):


Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.
(Surah al-Hujurat: 13).

Ayat ini menjelaskan bahawa kemuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya; iaitu iman dan akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa.


6. Nabi s.a.w menegaskan lagi dalam hadis baginda:


“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).


Inilah prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang insan.


7. Adapun hadis Nabi s.a.w:


“Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak.


Dalam masa yang sama Nabi s.a.w bersabda:


“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah”
(Riwayat Muslim).

Ini menafikan ketuanan kaum tertentu.


8. Sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka.


Melayu, atau selain melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.

1 ulasan:

Unknown berkata...

slogan yang "dilaungkan" berkaitan sentimen melayu itu tidak kena. nampak sangat perhimpunan itu ada agenda melayu sempit, ia menggambarkan seolah-olah melayu dah nazak, esok atau lusa melayu akan ranap, itu sebab mereka laungkan hidup melayu. ini program melayu dan diketuai oleh seorang melayu yang ada ambisi besar di masa depan. itulah agendanya.