KUALA LUMPUR— Barisan Nasional (BN) seharusnya mengumumkan nama-nama calon alternatif bagi jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, kata Lim Guan Eng hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang mengulas jaminan Datuk Seri Najib Razak kepada Gerakan bahawa parti itu tetap akan mengekalkan tampuk kepimpinan apabila BN menawan balik negeri tersebut.
“Saya mahu mengatakan sebelum mereka melakukan, mereka harus menamakan calon ketua menteri alternatif.
“Kita perlu bersedia.. jika ada ketua menteri alternatif, kami berminat untuk tahu. Bukan sahaja di Pulau Pinang, di Selangor juga. Siapa Menteri Besar alternatif? Di Kedah juga, dan juga di Kelantan,” kata beliau (gambar) di George Town hari ini.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata Pakatan Rakyat melihat cabaran BN untuk mahu menang balik Pulau Pinang dengan sangat serius.
Kata beliau, BN menggunakan pembohongan dan taktik-taktik kotor untuk memperlekehkan pentadbirannya.
“Kami akan berhadapan dengan pilihan raya paling kotor. Anda ada Umno yang menyebarkan pembohongan bahawa kami ini anti-Islam dan di sebelah lain pula anda ada Gerakan yang menyerang kerajaan negeri menambah peruntukan untuk hal ehwal Islam,” katanya lagi.
Lim juga berkata Pulau Pinang tidak akan ikut langkah Najib jika memanggil pilihan raya umum tahun ini tetapi sebaliknya kemungkinan berbuat demikian jika pilihan raya umum dipanggil 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan