Khamis, 13 Oktober 2011

Rakyat diminta tak ke LHDN bagi pohon bantuan RM500


MALAYSIA KINI
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meminta orang ramai yang layak mendapat bantuan rakyat sebanyak RM500 bagi isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, tidak mengunjungi kaunter perkhidmatan LHDN pada waktu ini bagi tujuan pendaftaran.

"Rakyat Malaysia yang layak mendapat bantuan ini tidak perlu mengunjungi kaunter LHDN pada waktu ini bagi tujuan pendaftaran itu sehinggalah semua urusan pelaksanaan siap dilakukan,” kata LHDN dalam satu kenyataan hari ini.

Pendaftaran secara percuma bagi pemohon yang layak, hanya boleh dilakukan setelah borang dan sistem berkaitan siap disediakan, katanya.

LHDN berkata, bagi memudahkan urusan pendaftaran pemohon, LHDN akan menyediakan perkhidmatan elektronik di laman sesawang LHDN serta beberapa agensi kerajaan lain yang akan dikenal pasti bagi melicinkan urusan terbabit.

Syarat permohonan akan dimaklumkan setelah mendapat garis panduan daripada Kementerian Kewangan, dan akan diumumkan melalui kenyataan media kepada semua akhbar, katanya.

NONEPenyaluran wang bantuan ini akan dilakukan melalui kaunter-kaunter Pos Malaysia dan Bank-bank yang dilantik, termasuk Bank Simpanan Nasional.

Pemberian bantuan itu seperti yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, akan dilakukan secara berperingkat-peringkat, berkuat kuasa pada Januari 2012.- Bernama

Tiada ulasan: