KEADILAN menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk memulakan siasatan ke atas National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang dimiliki oleh suami dan anak-anak kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil, seorang menteri kanan dan Ketua Wanita Umno.
KEADILAN telah membawa isu ini ke perhatian rakyat sejak awal tahun 2010 lagi memandangkan kedudukan strategik projek seperti yang didakwa oleh kerajaan dan peruntukan besar yang terlibat.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd diberi status Projek Berimpak Tinggi dengan sasaran memenuhi 40% permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.
Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 satu pasukan peninjau KEADILAN yang diketuai oleh Saudara Mohd Rafizi Ramli (Pengarah Strategi) dan YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat) telah membuat kunjungan tidak rasmi ke Pusat Feedlot Kebangsaan seluas 5,000 ekar di Gemas untuk menentukan prestasi pencapaian pusat tersebut memenuhi sasaran yang ditetapkan.
Hasil dari temuramah dengan pekerja-pekerja, maklumat yang diperolehi adalah seperti berikut:
Jumlah lembu yang dipelihari pada satu-satu masa: Sekitar 1,000 ekor
Asal-usul lembu: Diimport dari luar negara
Anggaran sembelihan setiap hari: Sekitar 20 ekor
Pasaran: Hypermarket seperti Giant, Carrefour dan lain-lain
Anggaran daging lembu yang dikeluarkan sehari (dikira): 3,000 kg
Anggaran daging lembu yang dikeluarkan setahun (dikira): 900,000 kg atau 900 tan
Prestasi operasi ini perlu dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan memandangkan projek tersebut dikurniakan tanah kerajaan seluas 5,000 ekar di Gemas dan mendapat bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM250 juta. Oleh itu, prestasi Pusat Feedlot Kebangsaan:
Jumlah penggunaan daging lembu Malaysia[1] setahun: 162,357 tan
% permintaan yang dicapai oleh Pusat Feedlot (dikira): 0.6%
Sasaran % permintaan yang perlu dicapai ditetapkan RMK9: 40%
Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran: 1,500 ekor sehari
Jumlah lembu yang kini disembelih: 20 ekor sehari
Kajian awal oleh KEADILAN ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal walaupun menelan jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 ekar. Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan.
Penyelidikan KEADILAN juga menunjukkan bahawa sehingga kini, komponen-komponen operasi yang lain yang diamanahkan kepada syarikat milik suami dan anak-anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih belum dilaksanakan walaupun mendapat peruntukan besar. Selain dari aktiviti mengimport lembu, syarikat ini juga dilantik oleh kerajaan untuk:
- Membangunkan penternak kecil melalui konsep “penternakan satelit” untuk menggandakan pengeluaran lembu
- Membangunkan makanan lembu berkualiti
- Membangunkan baja dari operasi penternakan lembu
KEADILAN berpendapat bahawa isu ini perlu diberi perhatian serius kerana ia salah satu contoh utama bagaimana penyelewengan wang rakyat akibat ketirisan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang yang menekan rakyat.
Projek ini dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan yang terpaksa ditanggung rakyat. Walau bagaimana pun, sebahagian besar dari peruntukan kepada projek-projek pertanian dan makanan untuk mengurangkan pergantungan kepada import tidak sampai dan diselewengkan sehingga mengakibatkan import makanan mencecah RM30 bilion setahun sehingga akhir 2010.
Dato’ Seri Shahrizat Jalil sebagai menteri yang berkepentingan dalam projek ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau tidak boleh lagi terus berdiam diri. Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan projek nasional yang menelan belanja besar ini.
Sekiranya kedua-dua mereka masih berdiam diri sehingga Isnin minggu depan, KEADILAN dan Wanita KEADILAN akan menganjurkan satu lawatan menjejaki lembu ke Pusat Feedlot Kebangsaan di Gemas untuk mendedahkan perkara ini dengan luas kepada rakyat.
YB ZURAIDA KAMARUDDIN, KETUA WANITA KEADILAN/AHLI PARLIMEN AMPAN
RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN
YB AMINUDDIN HARUN, ADUN SIKAMAT, SEREMBAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan