Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) mengucapkan "tahniah" kepada Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) kerana "berjaya" bersama-sama kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011. DPPKT menganggap perjuangan MAS selama 111 tahun sebagai "berbaloi" kerana tanah eksklusif milik penduduk Kampung Baru itu akhirnya diserah kepada Perbadanan Kampung Baru yang akan dibentuk nanti.
DPPKT menganggap inilah kejayaan serta sumbangan terbesar kerajaan UMNO-BN terhadap orang Melayu. Dengan slogan "Rakyat Didahulukan", Kampung Baru adalah slogan yang dikotakan. Rakyat didahulukan dengan menjadi mangsa atas nama projek pembangunan.
DPPKT sedih kerana MAS tidak bersama dengan penduduk mempertahankan hak milik Kampung Baru sehingga ke akhirnya. MAS perlu sedar bahawa dalam keadaan pemimpin UMNO-BN bergembira kerana kejayaan Rang Undang-Undang ini diluluskan di Parlimen, penduduk Kampung Baru menangis kesedihan apabila menerima keputusan ini. Sepatutnya MAS turut menangisi kehilangan Kampung Baru sesuai dengan entitinya sebagai pentadbir kampung tersebut, bukannya menerima daripada awal dengan "hati terbuka".
MAS juga perlu menginsafi kesan Perbadanan Kampung Baru terhadap pemilik Kampung Baru. MAS akan kehilangan kuasa untuk mengawal dan mentadbir kampung tersebut. Kampung Baru pula akan menjadi sebahagian dari kepesatan pembangunan ibu kota sedangkan penduduk asalnya entah di mana mereka akan tinggal kelak.
DPPKT mengingatkan MAS agar mengenang kembali perjuangan generasi terdahulu yang sanggup terkorban demi mempertahankan tanah milik mereka dari dirampas atau dijajah. Mereka sanggup dipenjara, dibunuh atau dibuang negeri bagi mempertahankan hak mereka. Segala ugutan, imbuhan serta janji yang ditabur tidak mampu memadamkan semangat perjuangan mereka. Kerana itu, jasa generasi terdahulu dikenang hingga ke hari ini.
DPPKT sekali lagi mengucapkan "tahniah" di atas "perjuangan" MAS terhadap isu Kampung Baru. Buat penduduk Kampung Baru, takziah diucapkan dan bersedialah menerima segala akibat hasil Rang Undang-Undang ini. Apa nak dikatakan, bumi dipijak kini milik orang.
*Kenyataan media oleh Mohd Shahir Abu Hassan selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa.
Jumaat, 7 Oktober 2011
Pemuda PAS Titiwangsa: Tahniah MAS, Takziah penduduk Kg. Baru
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan