Rabu, 19 Oktober 2011

NGO Perlu Cari Sumber Kewangan Alternatif: Rosmah

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) perlu berusaha menjana sumber kewangan sendiri dan tidak hanya bergantung kepada sumbangan atau bantuan kerajaan atau badan korporat, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Selasa.

Rosmah berkata sektor korporat sememangnya digalakkan untuk terus menghulur bantuan sebagai memenuhi tanggungjawab sosial.

"Namun, saya meminta NGO berusaha memastikan kemandirian yang mampan pertubuhan masing-masing.

"Usah diharap kepada bantuan semata-mata tetapi carilah jalan lain untuk menjana ekonomi pertubuhan masing-masing," katanya ketika melancarkan Yayasan Wanita Malaysia (YWM) di sini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan NGO menjadi pelengkap kepada kepada usaha kerajaan menjaga kebajikan rakyat kerana ia mampu mengisi ruang yang tidak dapat dicapai oleh kerajaan.

Rosmah yang juga penaung YWM mahu badan itu menekankan program di bidang pendidikan bagi membentuk kelompok wanita yang berkeyakinan tinggi untuk memimpin wanita Malaysia lain.

"Sekiranya ingin menempa kejayaan gemilang, YWM harus mencari dan mengisi kekosongan dan menjelajahi bidang yang belum pernah diterokai sebelum ini," kata Rosmah.

Sementara itu, Pengerusi YWM Datuk Faridah Abu Hassan berkata pihaknya berhasrat mewujudkan sebuah universiti khas bagi wanita seperti beberapa negara Asia lain.

"Ia masih dalam proses perbincangan. Ia merupakan rancangan masa depan YWM bagi membantu kaum wanita dan akan diusulkan kepada pihak terbabit," katanya ketika ditemui pemberita.

Ditubuhkan pada November 2010, YWM mempunyai misi untuk memperkasakan wanita melalui pendidikan serta kebajikan ke arah kesejahteraan sosial dan ekonomi berlandaskan Gagasan 1Malaysia. -BERNAMA

Tiada ulasan: