"Sebanyak 30 peratus bajet itu diambil dari Pakatan Rakyat - buku jingga dan dokumen negara berkebajikan milik PAS," kata Salahuddin Ayub.
PETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Rakyat mendakwa sebahagian kandungan bajet 2012 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Tun Razak diambil dari buku jingga dan dokumen negara berkebajikan.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, sebanyak 30 peratus bajet itu diambil dari Pakatan Rakyat – buku jingga dan dokumen negara berkebajikan milik PAS.
“Terutama dalam bantuan kepada nelayan dan petani, yang memang terdapat dalam bajet Pakatan Rakyat. Saya tidak terkejut dengan bajet itu.
“Bajet Pakatan Rakyat telah diambil oleh Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Najib membentangkan bajet 2012 di bangunan Parlimen petang semalam dengan kos RM232 bilion.
Bajet pilihan raya
Sementara itu, TVS melaporkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengakui bajet 2012 dicedok dari bajet Pakatan Rakyat.
Menurut Anwar mencedok idea Pakatan Rakyat itu boleh, tetapi jangan dicedok dengan penyelewengan, rasuah dan ketirisan yang berterusan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen selepas pembentangan bajet.
Pengarah Strategi PKR, menyifatkan bajet Najib itu adalah bajet pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan dari mana wang semua itu diperolehi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan