Jumaat, 7 Oktober 2011

Najib: Bajet 2012 ‘belanjawan transformasi semua rakyat Malaysia’

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Bajet 2012 – yang dilihat sebagai terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok - Jumaat - disifatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “satu belanjawan transformasi untuk semua rakyat Malaysia.”

Pilihan raya umum ke-13 dijangka diadakan bila-bila masa dari sekarang, tetapi ramai melihat selepas Disember ini.

Ia belanjawan ketiga beliau selepas menjadi perdana menteri.

Menekankan pendekatan inklusif kerajaan, Najib (gambar), yang juga Menteri Kewangan berkata, akan terdapat lebih ramai yang akan menikmati manfaat dalam belanjawan sederhana dan berhemah tahun ini.

Intipatinya akan termasuk dasar-dasar baharu untuk menangani kos kehidupan dalam waktu-waktu sukar dan pada masa yang sama mengekalkan pendekatan bertanggungjawab daripada segi menjamin kedudukan fiskal dalam menguruskan ekonomi, lapor Bernama Online.

“Belanjawan ini adalah mengenai kerajaan mengotakan janji-janji kami untuk menjamin keadilan sosial dan pada masa yang sama memastikan negara kita berada di landasan ekonomi yang kukuh yang akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan jangka panjang untuk semua.

“Ini merupakan belanjawan transformasi yang sebenar untuk semua rakyat Malaysia, iaitu yang akan menentukan hala tuju kita ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” kata Najib dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya sebelum pengumuman petang esok.

“Selaras dengan prinsip 1 Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan – saya memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan defisit, tetapi tidak akan berbuat demikian dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat biasa,” katanya.

Tiada ulasan: