KUALA LUMPUR — Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kenyataannya dibuat kelmarin sambil berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng seharusnya meminta polis menyiasat dakwaan kononnya anak beliau telah mencabuli seorang pelajar perempuan bagi mengakhiri kontroversi itu.
Timbalan perdana menteri berkata, kenyataan Lim bahawa anaknya tidak bersalah tidak cukup bagi pertimbangan orang ramai, sebaliknya satu siasatan yang sewajarnya perlu diadakan.
“Itu hasrat saya, bukannya saya mahu campur tangan. Tolong lihat niat saya. (Saya) tiada niat buruk,” kata beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur di Parlimen hari ini.
“Saya tidak mengatakan dia bersalah tetapi orang lain akan membuat penilaian mereka sendiri. Ia akan lebih jelas (melalui siasatan polis). Ia bukan isu politik,” kata Muhyiddin (gambar).
Semalam, beberapa pihak menggesa Muhyiddin memohon maaf secara terbuka kerana mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyokong blog pro-Umno yang membuat dakwaan itu.
Kelmarin, Muhyiddin meminta Lim membuat laporan polis dan membiarkan polis menjalankan siasatan bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana penafian sahaja tidak mencukupi.
“Penafian adalah tidak mencukupi. Kalau tidak buat, minta polis untuk menyiasat dan bersihkan nama,” kata Muhyiddin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menggesa pemimpin-pemimpin tidak kira parti politik supaya tidak mengheret urusan keluarga demi kepentingan politik masing-masing, sebaliknya memfokus soal berkaitan dengan dasar.
Pelajar perempuan yang dikaitkan dengan isu itu, yang belajar di Amerika Syarikat, telah menafikan dakwaan sedemikian. Begitu juga pengetua sekolah anak Lim belajar sebelum ini.
1 ulasan:
btol tu... bia lar pihak yang berkenaan sisat benda ni..
Catat Ulasan