Sabtu, 8 Oktober 2011

KPDNKK LINDUNGI PENJENAYAH CETAK ROMPAK?

SABAH KINI.NET


Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN


TINDAKAN Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberkas dan mendakwa jurujual tempatan di mahkamah tetapi melepaskan pemilik premis, umpama pepatah Melayu, ayam terlepas tangan bau tahi.

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Citra Masadi, yang menghubungi Sabahkini.net bagi mengulas tindakan KPDNKK yang memberkas seorang jurujual tempatan, Rosna Ikram, 20, pada 21 September 2011 kerana menjual 677 keping DVD cetak rompak tanpa sijil B di Centre Point Kota Kinabalu.

“Saya kesal kenapa KPDNKK menjadikan jurujual yang makan gaji sebagai mangsa dan tidak mendakwa pemilik premis atau tuan punya DVD. Seolah-olah pemilik premis mengatasi undang-undang kerana pendakwaan ala kambing hitam,” kata Citra yang mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan rapi kenapa KPDNKK melakukan pendakwaan terpilih.

Menurut Citra, jenayah cetak rompak dan menjual DVD yang tidak mempunyai Sijil B sudah menjadi budaya di hampir semua premis menjual DVD, termasuk di Sinsuran, Karamunsing, Centre Point dan kaki lima kerana sindiket ini dilindungi KPDNKK.

“Kita tidak berniat untuk melindungi jurujual tersebut tetapi kita minta agar KPDNKK tidak melindungi pemilik kedai kerana Rosna hanya jurujual. Jika ingin banteras, wajar dibuat bersama SPRM dan bukannya bagi melindungi kepentingan sindiket yang membayar wnag kopi setiap bulan kepada pegawai KPDNKK,” ujar Citra lagi.

Rabu lalu Mahkamah Majistret Kota Kinabalu mengenakan hukuman denda RM7,000 dan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda ke atas Rosna yang mengakui bersalah menjual DVD yang tidak mempunyai Sijil B.

Rosna didakwa di bawah Seksyen 18 (4) (a) Akta Penapisan Filem 2002, didenda di bawah Seksyen 18 (5) Akta yang sama; yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000, atau penjara maksima tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: