Rabu, 26 Oktober 2011

Kes dan tangkapan Jenayah Narkotik Keningau meningkat

KENINGAU KINI

KENINGAU: Kes dan tangkapan Jenayah Narkotik di daerah ini meningkat kepada 175 kes dan 183 tangkapan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tahun lalu 150 kes dan 158 tangkapan.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Supritendan Polis (DSP) Zahari Mohamed berkata, peningkatan itu turut menyaksikan peningkatan 29 kes bagi bulan Oktober tahun ini.

“Peningkatan itu katanya, memperlihatkan kekerapan pemantauan dan penguatkuasaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sini,” katanya media di sini kelmarin.

Katanya, polis akan menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.

Ini katanya, kerana pengedar yang membawa masuk dadah dipercayai dari Kota Kinabalu dan menggunakan laluan jalan Tambunan untuk menyusup masuk di daerah Keningau.

Walau bagaimanapun Zahari menegaskan, pegawai dan anggota JSJN di sini terus mempergiatkan risikan dan pemantauan di premis yang berisiko dijadikan pengedaran dan penyalahgunaan dadah seperti pusat-pusat hiburan di sekitar pekan ini.

“Kita tidak akan berkompromi dengan kegiatan ini kerana ia akan memudaratkan masyarakat dan memberi kesan yang buruk kepada negara secara keseluruhannya,” kata Zahari.

Dalam masa yang sama Ketua Polis Daerah itu mengingatkan masyarakat di daerah ini terutama golongan belia agar berhati-hati dan jangan terjerat dengan kegiatan yang tidak bermoral itu.

Katanya, daripada jumlah kes dan tangkapan yang direkodkan, kebanyakan yang terlibat adalah golongan belia yang berumur dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun- -nst-

Tiada ulasan: