Selasa, 18 Oktober 2011

Kempen Tangani Gejala Arak Di Selangor

Oleh Naeem Raffi


SUBANG : Bagi menangani masalah gejala arak serta kesannya terhadap masyarakat, Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif melancarkan kempen Pencegahan Arak dan Pelancaran Logo Anti Arak Peringkat Negeri Selangor 2011 di sini.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata usaha dan cabaran mendidik masyarakat berhubung kesan negatif pengambilan arak adalah tanggungjawab sesebuah kerajaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sebelum lancarkan kempen Pencegahan Arak dan Pelancaran Logo Anti Arak Peringkat Negeri Selangor 2011 di Plaza Tol Banadar Sunway hari ini.

"Ini adalah usaha penting di mana pemimpin bertemu rakyat, bagi menyatakan bahawa pengambilan arak adalah suatu perkara yang di kutuk oleh agama dan tidak diizinkan oleh enakmen jenayah 1995 di negeri Selangor ini,

"Tiada seorangpun manusia yang normal pemikirannya akan mengizinkan pengunaan arak ke atas keluarganya sama ada semasa memandu, waktu bekerja dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Hasan yang juga ADUN Gombak Setia berharap kempen pencegahan arak ini dipanjangkan oleh ketua masyarakat, rumah-rumah ibadah seterusnya keperingkat anggota masyarakat sehingga matlamat masyarakat yang hidup tanpa pengaruh alkohol tercapai.

"Pelancaran di plaza tol hari ini adalah simbolik untuk bertemu dengan rakyat, kita akan meneruskan usaha ini ke universiti, pusat perniagaan, pasar tani dan pasar borong dan sebagainya untuk kita mendedahkan kepada orang ramai bertapa seriusnya pengambilan arak ini, ini adalah langkah penting bagi kita," jelasnya.

Di Selangor pencegahan arak ini dilakukan dengan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) tahun 1995.

Kesalahan meminum arak bagi orang Islam diperuntukan dalam Seksyen 18 (1) dan sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan bagi orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan diperuntukan dalam Seksyen 18(2) enakmen yang sama. Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kempen ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi agama, agensi kerajaan dan swasta.

Antaranya Polis Di-raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Tiada ulasan: