Khamis, 13 Oktober 2011

Hakim Abdul Malik undur diri berikutan usul 'plagiat'


Hafiz Yatim

Hampir seminggu selepas seorang ahli parlimen mengemukakan usul di Dewan Rakyat bagi merujuk seorang hakim Makamah Rayuan ke tribunal kehakiman kerana didakwa memplagiat satu keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Singapura, beliau hari ini bersemuka dengan hakim itu.

NONEIa adalah pertemuan yang janggal bagi ahli parlimen itu, Karpal Singh yang juga seorang peguam terpaksa berdepan dengan panel tiga anggota hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak.

Sehubungan itu, Karpal meminta Abdul Malik (kanan) mengundurkan dirinya daripada membicarakan kes yang diwakilinya berkenaan dakwaan pengedaran dadah.

"Yang Arif, saya mohon Yang Arif Abdul Malik menarik diri daripada mendengar kes ini berikutan tindakan yang saya failkan di bawah Perkara 127 atas dakwaan salah laku kerana memplagiat penghakiman bertulis oleh hakim Singapura."

Hakim Abdul Malik, bagaimanapun berkata beliau telah menerima arahan dari Presiden Mahkamah Rayuan (Datuk Md Raus Sharif) untuk mempengerusikan panel itu.

Timbalan pendakwa raya Kwan Li Sa berkata pihak pendakwaan mempunyai keyakinan dengan panel tersebut.

Namun, Karpal mengingatkan akan timbul persoalan persepsi jika Hakim Abdul Malik memutuskan untuk terus mendengar kes itu.

Berikutan itu, Hakim Abdul Malik memutuskan untuk mengundurkan dirinya.

"Kes tersebut akan didengar pada 14 Nov di hadapan panel lain tanpa diri saya," katanya dengan tenang.

Tiada ulasan: