Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini menegur media yang melaporkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja pada Ogos lalu sebagai satu "serbuan."
Katanya, istilah berkenaan menyebabkan JAIS dilihat "kasar" dalam tindakannya ke atas Gereja Methodist Damansara Utama itu.
Sebaliknya, media harus melaporkan tindakan berkenaan sebagai satu "siasatan", katanya ketika merasmikan Seminar Implementasi Dasar dan Strategi: Peranan Media Dalam Mendepani Ancaman Akidah di Shah Alam.
Katanya, kedua-dua perkataan tersebut memberi maksud yang berbeza ke atas tindakan JAIS.
"Apa yang berlaku dua, tiga minggu lalu. Kita ambil satu perkataan siasat jadi serbu.
"Siapa yang serbu... Serbu dalam keadaan menggeledah, dalam keadaan tendang pintu, serbu dalam keadaan tabur bahan-bahan...
"(Tetapi maksud) siasat lain, tegasnya di hadapan kira-kira 180 hadirin termasuk pengamal media di Shah Alam.
Hasan yang juga ADUN Gombak Setia berkata, beliau dan barisan exco negeri kini dilarang daripada membuat sebarang kenyataan walaupun "banyak benda" yang ingin diperkatakannya berhubung isu tersebut.
Bagaimanapun, beliau mematuhi arahan tersebut untuk mengelakkan kenyataannya "dimanipulasikan" mengikut kehendak dan selera mana-mana media, katanya.
Ditanya dalam sidang media kemudiannya, Dr Hasan berkata beliau "tidak nampak" media melaporkan isu itu dengan salah tetapi masalah timbul disebabkan "kecenderungan" laporan berkenaan.
"Kecenderungan laporan itulah yang menyebabkan sedikit masalah.
"Dan saya rasa isu ini melibatkan (orang) Islam dan bukan Islam, melibatkan dua agama, menyebabkan sensitifnya perkara ini," katanya.
Beliau yang enggan menamakan mana-mana individu juga mendakwa, terdapat pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi isu berkenaan.
"Saya tidak mahu guna perkataan eksploitasi, tapi itulah perkataannya. Eksploitasi situasi itu yang menyebabkan apa yang berlaku tidak sepatutnya sebagaimana yang dikehendaki ianya berlaku," katanya.
Dr Hasan turut menjelaskan saranannya supaya media bersimpati dengan JAIS dengan "memberikan berita dalam konteks yang dikehendaki oleh JAIS."
"Saya tidak minta sokong JAIS, tidak, tidak, tidak.
"Saya mahu melihat media, fahami kehendak JAIS, fahami idealisme JAIS, (dan) fahami hati benak JAIS," katanya ketika ditanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan