Khamis, 13 Oktober 2011

Dr Koh tentukan jawatan presiden Gerakan selepas PRU13



KUALA LUMPUR - Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata janji beliau untuk memegang jawatan itu untuk dua penggal sahaja adalah bergantung kepada prestasi parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya soal kepentingan diri tidak dalam pemikirannya sama sekali malah hanya mengutamakan kepentingan rakyat dan tumpuan persediaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Seperti saya katakan dahulu, maksimum dua penggal...tetapi ia bergantung kepada keputusan pilihan raya umum," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini, Khamis.

Gerakan telah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti yang sepatutnya diadakan tahun ini kepada tahun depan bagi memberi tumpuan kepada persediaan parti itu menghadapi PRU.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU ke-13 atau hanya memimpin parti itu, Dr Koh berkata beliau telah membuat keputusan tetapi hanya akan memaklumkannya apabila tiba masanya.

"Saya tidak fikir keputusan saya itu harus menjadi kebimbangan utama. Sudah tentu, saya tidak akan membuat pengumuman sehari sebelum hari pencalonan," katanya.

Katanya beliau mempunyai beberapa pilihan dan akan menilai keadaan sebelum membuat keputusan paling baik demi rakyat dan parti.

Mengenai calon parti untuk PRU ke-13, katanya, senarai calon belum dimuktamadkan kerana memerlukan lebih banyak pertimbangan dan perbincangan dalam kalangan pemimpin parti itu.

"Calon pilihan bukan sahaja dapat pengiktirafan oleh parti malah paling penting calon berkenaan dapat diterima oleh rakyat," tegasnya.

Berhubung kemungkinan Gerakan bertukar kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu dengan komponen parti Barisan Nasional (BN) yang lain pada PRU, Dr Koh berkata sudah ada perbandingan nota dengan beberapa Menteri Besar bagi mendapatkan maklum balas bersama.

Dr Koh juga menyentuh hubungannya dengan bekas presiden Tun Dr Lim Keng Yaik susulan kritikan keras dan di luar jangkaan oleh ahli veteran itu terhadap kepimpinannya Oktober tahun lalu.

Dr Lim, yang menyerahkan kepimpinan parti itu kepada Dr Koh pada April 2007, pernah berkata beliau kecewa dengan kepimpinan penggantinya itu yang gagal mengambil tindakan proaktif menyelesaikan banyak isu melibatkan parti itu.

Dr Lim melepaskan jawatan sebagai penasihat parti tetapi kekal sebagai pengerusi Majlis Ahli Seumur Hidup Gerakan.

"Hubungan saya dengan Tun (Dr Lim) masih bagus. Saya menghormatinya. Kemarahannya sudah tentu ada sedikit kesan tetapi saya menerimanya dengan tenang. Beliau sudah memahami selepas saya menjelaskan kepadanya," katanya.

"Saya tidak simpan dalam hati. Kami tidak benarkan isu itu merosakkan hubungan kami. Dia adalah sebagai abang kepada saya," kata Dr Koh.

Ditanya sama ada Gerakan akan mengambil pendirian sama seperti MCA yang tidak akan terima jawatan dalam kerajaan jika keputusan parti itu merosot pada PRU ke-13, Dr Koh menjelaskan parti itu tidak dapat memutuskan sekiranya gagal pada PRU.

Katanya mereka hanya menang dua kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam di Johor dan Gerik di Perak pada PRU ke-12 pada 2008 berbanding 10 kerusi Parlimen pada Mac 2004.

"Sekiranya pencapaian itu terus merosot maka tidak ada apa-apa yang tinggal lagi untuk kami membuat keputusan," katanya.

Justeru itu, dalam keadaan semasa parti itu tidak menarik perhatian berbanding sebelum ini dan mereka kini perlu melipatgandakan usaha dan bukan hanya bercakap kosong sahaja.- mStar

Tiada ulasan: