Timbalan Setiausaha SPR, Datuk Noordin Che Ngah berkata dakwat kekal boleh digunakan sekiranya mendapat kelulusan majlis tersebut yang akan meneliti sama ada ia bercanggah dengan prinsip Islam ataupun sebaliknya.
“SPR masih kaji benda ini (penggunaan dakwat kekal), kalau Majlis Fatwa kata ia telus air dan tiada unsur haram iaitu memudaratkan contohnya memedihkan mata atau menyebabkan batuk, maka dakwat itu boleh digunakan.
“Bagaimanapun sekiranya kajian mengatakan ia haram sehingga tak telus air untuk berwuduk, maka kita akan mengambil keputusan untuk tidak melaksanakannya,” katanya dipetik Bernama Online berucap pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri Kelantan di Terminal Agrobisnes Negara dekat sini, hari ini.
Awal minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu Dewan Rakyat bahawa perkara mengenai penggunaan dakwat kekal diserahkan kepada jawatankuasa pilihan khas yang baru dibentuk untuk menilainya.
Nazri berkata pada pilihan raya umum 2008 ia tidak dapat digunakan pada saat-saat akhir atas kekangan membabitkan Perlembagaan.
Pada Ogos lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya akan mempertimbangkan semula secara serius penggunaan dakwat kekal pada hari pengundian bagi memastikan proses pilihan raya di negara ini dilaksanakan dengan telus dan adil selepas dibatalkan penggunaannya pada pilihan raya umum ke-12.
Katanya, suruhanjaya itu akan mengkaji dengan terperinci cadangan berkenaan sebagai salah satu langkah penambahbaikan sistem plihan raya sedia ada.
“Kita memang akan pertimbangkan semula penggunaan dakwat kekal secara serius. Kalaulah itu (dakwat kekal) yang paling baik dan selamat... kita boleh guna.
“Tapi pelbagai aspek perlu diambil perhatian sebelum kita benar-benar mahu melaksanakan penggunaannya bagi mengelakkan sebarang pertikaian dibuat,” kata beliau.
Isu penggunaan dakwat kekal merupakan salah satu daripada lapan tuntutan yang terkandung dalam memorandum Bersih 2.0.
Aziz juga berkata, pada masa yang sama SPR juga tidak menolak kemungkinan turut menggunakan sistem biometrik seperti yang dicadangkan suruhanjaya itu bagi mengelakkan pertikaian mengenai dakwaan wujudnya pengundi hantu.
Menurut beliau, penggunaan sitem biometrik yang dilihat lebih terkini dan selamat boleh mengelakkan pertikaian kerana bacaan cap jari pada setiap individu adalah berbeza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan